Sinar, 26 Mac 2018
Ronald Kiandee
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Tiga ahli parlimen pembangkang digantung daripada
menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama 10 hari berkuat kuasa hari
ini kerana menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin
Mulia.
Keputusan itu diumumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri
Dr Ronald Kiandee ke atas Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming
(DAP-Taiping) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP-Batu Gajah).
Ini susulan kenyataan dan tindakan ketiga-tiga mereka di luar Dewan
Rakyat selepas usul mereka berkenaan penyitaan kapal layar mewah “The
Equanimity” pada 6 Mac ditolak Pandikar.
Ketika membacakan keputusan itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini,
Kiandee berkata kenyataan ketiga-tiga ahli parlimen itu merupakan satu
penghinaan terhadap Pandikar, tidak mengendahkan kuasa pengerusi serta
telah menjejaskan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.
“Ia adalah perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat dan tidak
mengendahkan kuasa pengerusi seperti yang dinyatakan dalam Peraturan
Mesyuarat 44(2),” katanya.
Beliau memutuskan kenyataan bersama ketiga-tiga ahli parlimen itu yang
telah diterbitkan oleh portal berita www.malaysiakini.com yang
antaranya mendakwa Pandikar tidak sepatutnya menjadi sekutu untuk
menutup skandal rasuah, gagal menegakkan kebenaran, dan patut meletak
jawatan, adalah bersifat tuduhan dan menghina Pandikar.
“Pada 13 Mac pula Yang Berhormat Taiping membuat kenyataan media di
www.freemalaysiatoday.com bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat seharusnya
mengambil tindakan bersesuaian untuk memelihara integriti Dewan Rakyat
dan jika Yang Dipertua Dewan Rakyat gagal, Parlimen Malaysia akan
dilihat sebagai salah satu institusi paling memalukan di dunia,” kata
Kiandee.
Setelah meneliti kenyataan bersama itu, beliau berkata Yang Dipertua
Dewan Rakyat telah menulis surat kepada ketiga-tiga anggota parlimen
tersebut pada 13 Mac meminta mereka memohon maaf secara terbuka di dalam
Dewan Rakyat atas tuduhan yang dibuat namum mereka enggan. - Bernama
No comments:
Post a Comment