Wednesday, March 14, 2018

Zahid kritik MCA hendak kerusi, tetapi kerja tak nak

 | March 14, 2018
Timbalan perdana menteri berang apabila mendapati tiada wakil MCA hadir, ketika hendak memperkenalkan parti komponen BN kepada orang ramai pada majlis minum petang pemimpin bersama rakyat di Paroi, semalam.
ahmad-zahid-hamidi-fmt-8-os
PETALING JAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkritik tindakan MCA Negeri Sembilan hanya mahu kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi tidak menghadiri aktiviti anjuran Barisan Nasional (BN).

Sin Chew Daily melaporkan timbalan perdana menteri berang apabila mendapati tiada wakil MCA hadir, ketika hendak memperkenalkan parti komponen BN kepada orang ramai pada majlis minum petang pemimpin bersama rakyat di Paroi, Seremban, semalam.

“MCA di mana? Kenapa tak hadir? Program seperti ini bukan tiap-tiap hari ada, saya pun bukan selalu datang, kenapa tak sertai (program ini)?
“Kerusi hendak, kerja tak nak! Masa inilah parti komponen BN patut bersatu.”
Timbalan pengerusi BN itu turut mempersoalkan penganjur kenapa tidak memberi tempat duduk kepada Gerakan di atas pentas.

Sementara itu, Zahid yakin BN Negeri Sembilan boleh memenangi 29 kerusi negeri pada PRU14, serta merampas kerusi Parlimen Seremban dan Telok Kemang daripada pembangkang.
Katanya, pemimpin pusat akan membantu calon negeri itu berkempen pada PRU14.

Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Lim Chin Fui memberitahu akhbar itu, mereka tidak tahu mengenai program semalam.
“MCA mengalu-alukan kedatangan timbalan perdana menteri, kami tidak hadir kerana tidak dimaklumkan. Mungkin berlaku kesilapan teknikal di pihak penganjur, tertinggal beritahu MCA.”

Katanya, beliau akan bertanggungjawab membuat penjelasan kepada timbalan perdana menteri dan menteri besar Negeri Sembilan serta mengucapkan terima kasih kepada Zahid yang berjanji akan terus membantu kempen MCA Seremban.

Beliau kesal MCA tidak tahu mengenai lawatan Zahid ke negeri itu semalam dan memberi jaminan parti itu sentiasa berkhidmat kepada rakyat.
“Saya boleh memberi jaminan kepada timbalan perdana menteri, pemimpin akar umbi MCA rajin berkhidmat kepada rakyat.

“Kami akan menghantar pengerusi MCA Bahagian Seremban yang juga setiausaha MCA negeri untuk memahami salah faham yang berlaku.”

No comments:

Post a Comment