Wednesday, June 6, 2018

Bayar syarikat dikaitkan Jho Low RM8.3 bilion, hanya 13% kerja selesai

 | June 5, 2018
Laporan dibuat kepada SPRM untuk siasat 2 projek saluran paip minyak diberikan kepada sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.
Lim Guan Eng menggesa Najib Razak menjelaskan satu kontrak projek saluran paip gas bernilai berbilion dolar. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan sebuah syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dibayar RM8.3 bilion atau 88% daripada nilai kontrak, tetapi hanya 13% kerja pembinaan 2 saluran paip di Kedah dan Sabah disiapkan.

“Kami dapati bayaran yang dijadualkan untuk kontrak di atas berdasarkan masa ditetapkan dan bukan tahap kerja disiapkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Projek bernilai RM9.4 bilion itu diberikan kepada Suria Strategic Energy Sdn Bhd (SSER), sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2016, khasnya untuk mengambil projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP).

Bayaran itu tidak termasuk 2 perjanjian perundingan lain bernilai RM525 juta dan satu perjanjian penyelenggaraan bernilai RM476 juta, yang ditawarkan kepada syarikat China.

Lim berkata, projek itu diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada November 2016, yang ditandatangani Pengerusi SSER, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang juga bekas ketua setiausaha perbendaharaan.

Presiden SSER ialah Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin yang juga pengarah Putrajaya Perdana Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menurut Lim dikaitkan “secara langsung dengan Low Taek Jho”, ahli perniagaan dinamakan pihak berkuasa Amerika Syarikat bertanggungjawab atas kecurian berbilion dolar dari 1MDB.

“Saya dimaklumkan pegawai Perbendaharaan yang SSER ialah cabang (ditubuhkan) oleh orang sama di sebalik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. SRC ialah akronim kepada Strategic Resources Corporation, nama yang sama kepada SSER.”

MPP membabitkan saluran paip petroleum sepanjang 600km menghubungkan Melaka, Port Dickson dan Jitra di Kedah dengan kos kira-kira RM5.35 bilion, manakala TSGP yang bernilai kira-kira RM4 bilion, ialah saluran paip menghubungkan Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau sepanjang 662km.

Kabinet meluluskan projek itu pada 27 Julai 2016, dengan kontrak dimeterai sekitar masa sama dengan kontrak untuk projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), tetapi Lim berkata, rundingan dibuat Jabatan Perdana Menteri tanpa pegawai Perbendaharaan.

Lim berkata, semakan dengan Jabatan Peguam Negara turut mengesahkan kontrak itu ditandatangani walaupun banyak soalan tidak terjawab dan masalah dibangkitkan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan pegawai kementeriannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia minggu lalu.
Beliau berkata, berdasarkan perjanjian yang dimeterai itu, 85% daripada nilai projek itu dibayar menjelang 1 Mac 2018.

Oleh itu, katanya, kerajaan baru hanya boleh memastikan projek itu disiapkan.
Beliau turut menggesa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung transaksi itu.

“Jika perlu, kami akan minta bantuan kerajaan China untuk membantu mengesan aliran dana di China bagi menyiasat kemungkinan berlaku pengubahan wang.”
Lim berkata, SSER tahun lalu mendapat pembiayaan dari Bank EXIM China berjumlah 85% daripada nilai projek, manakala baki 15% diperolehi daripada terbitan sukuk dengan Jaminan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam satu taklimat kepada pegawai Perbendaharaan pada 28 Mei lalu, SSER melaporkan projek 3 tahun itu bermula April 2017.
“Tetapi, setakat akhir Mac 2018 atau tepat setahun kemudian, projek MPP dan TSGP hanya mencapai kemajuan 14.5% serta 11.4%.”
Ditanya jika kos projek itu dinaikkan, katanya: “Kami akan mengkaji perkara itu juga”. FMT

No comments:

Post a Comment