Wednesday, June 13, 2018

Majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dalam jangkauan HARAPAN

Andrew Ong  |  
Untuk melaksanakan perubahan drastik dalam kerajaan, Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu meminda perlembagaan. Ia hanya boleh dilakukan dengan adanya penguasaan dua per tiga di Dewan Rakyat.

Antara janji yang diikrarkan HARAPAN sebelum pilihan raya umum lalu ialah memisahkan tugas peguam negara dengan pedakwa raya, lebih autonomi kepada Sabah dan Sarawak, serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kuasa parlimen berbanding perdana menteri ketika ini.

Secara rasmi HARAPAN dan rakannya memenang hanya 122 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Gabungan berkenaan kini masih kekurangan 25 kerusi untuk mendapat sekurang-kurangnya 147 kerusi sekali gus menguasai dua per tiga dewan.

Pemerhati percaya, tidak seperti dekad lalu yang menyaksikan perlembagaan tidak terusik apabila BN gagal mendapat majoriti dua per tiga, keadaan bakal berubah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mampu mengumpul sokongan secukupnya untuk melaksanakan reformasi seperti yang dicadangkan.
Malah ketika ini sudah ada tanda-tanda Dr Mahathir menghantar isyarat kepada parti pembangkang.

Setakat ini tiga pemimpin pembangkang mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Datuk Patinggi Abang Johari Openg (Parti Pesaka Bumiputera Sarawak - PBB).

Sekarang lebih kuat
Pada 8 Jun Dr Mahathir dilaporkan bersetuju mengembalikan hak royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dalam langkah yang jelas menggembirakan PAS.

Hari ini Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak mengumumkan PBB serta tiga parti lain meninggalkan BN bagi membentuk gagasan baru dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Serentak dengan pembubaran BN di Sarawak itu juga Abang Johari mengumumkan GPS akan bekerjasama dengan Putrajaya sebagai kerajaan pusat.
"GPS akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam hal-hal kepentingan negara dan hak-hak negeri berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan serta Persekutuan Malaysia," katanya semasa mengadakan sidang media di Kuching.

Jika Dr Mahathir mendapat komitmen daripada PAS untuk memberikan 18 undi daripada anggota parlimen mereka, ditambah 19 daripada GPS, ia lebih daripada mencukupi bagi mendapatkan sokongan majoriti dua per tiga bagi meminda perlembagaan.

Situasi itu belum lagi mengambil kira sokongan daripada anggota parlimen Sabah.
Pagi tadi Dr Mahathir - semasa mengadakan sidang media di Tokyo, Jepun - menyatakan HARAPAN memiliki "sokongan lebih kuat" di parlimen.

Sesetengah pindaan yang dicadangkan itu juga mungkin mendapat sokongan daripada anggota parlimen BN atau Umno.
"Misalnya, Umno akan berminat menjadikan SPRM sebuah badan bebas kerana dalam keadaan begitu agensi terbabit terbuka untuk menyiasat sesiapa saja termasuk kerajaan dan memberi laporan kepada parlimen," kata seorang pemimpin HARAPAN kepada Malaysiakini.

Dewan Rakyat dijangka bersidang pada 16 Julai ini.
Dengan terbubarnya BN di Sarawak hari ini, parti itu semakin terpencil dan hilang kuasa mentadbir negeri kecuali di Pahang dan Perlis.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment