Tuesday, June 12, 2018

Nazri Aziz bayangkan BN di akhir hayat

 | June 12, 2018
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata sukar mempertahankan BN selepas MCA, MIC dan Gerakan dikalahkan begitu teruk.
Nazri berkata pasca PRU14 perlukan aturan baru di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak.
PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikatnya jenama gabungan itu tidak lagi boleh dipasarkan, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata sukar untuk mempertahankan BN sekarang ini di Malaysia Barat apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi diterima rakyat.
“Parti seperti MIC, MCA dan Gerakan sudah dikalahkan begitu teruk dan tidak mungkin dalam masa singkat ini mereka boleh bangun semula.

“Kalau mereka tidak boleh bangun semula, bagaimana BN hendak berfungsi. Kita kena terima hakikat, BN sudah tidak boleh pergi dah,” katanya kepada FMT.
BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada 79 berbanding 133 pada PRU-13.

Parti tunjang BN, Umno masih merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 54 kerusi, merosot daripada 88 kerusi pada penggal lepas.
MCA daripada 7 kerusi kini tinggal 1 kerusi, MIC dari 4 kerusi tinggal 2 kerusi dan Gerakan pula tidak memperoleh sebarang kerusi.

Nazri berkata pimpinan BN perlu melihat contoh Parti Perikatan yang dibubarkan pada 1973. Gabungan ad hoc itu, yang diasaskan pada 1957 di Tanah Melayu, dibubarkan selepas beberapa siri rundingan dengan parti pembangkang dan kemasukan Gerakan, MyPPP dan PAS pasca tragedi 13 Mei 1969.

“Kena buat macam dulu, apabila Perikatan lemah, terus bubar Perikatan dan tubuhkan BN. Kemudian jemput parti lain bergabung bersama. BN ini sudah 52 tahun, saya ingat ini yang terbaik,” katanya.

Pada masa sama, Nazri menyokong tindakan parti tempatan Sarawak meninggalkan BN dan menubuhkan gabungan sendiri, dan begitu juga Umno di Malaysia Barat.

“Dalam PRU akan datang kita boleh bersama dengan parti gabungan Sarawak ini untuk tubuh kerajaan di peringkat Pusat. Itu yang terbaik,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan Sabah untuk mengikut langkah Sarawak, termasuk membubarkan Umno di sana sekiranya terdapat keperluan.

“Masa depan yang terbaik adalah gabungan antara parti-parti Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Itu lebih baik,” katanya

No comments:

Post a Comment