Saturday, June 9, 2018

Malaysia tahu notis merah Interpol ke atas Jho Low, kata Singapura

 | June 8, 2018
Pihak berkuasa Singapura berkata, notis merah itu disiarkan pada 2016 susulan siasatan ke atas aliran dana berkaitan 1MDB.
Jho Low dicari pihak berkuasa Singapura yang menyiasat aliran dana berkaitan 1MDB. (Gambar AFP)
PETALING JAYA: Pihak berkuasa Singapura hari ini mengesahkan Interpol sudah menyiarkan “notis merah” terhadap pembiaya, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan Tan Kim Loong berhubung siasatan ke atas aliran dana 1MDB.

Tan dinamakan pemilik benefisial 4 akaun di Bank Falcon yang digunakan untuk menyalurkan dana 1MDB. Akaun itu didakwa sebenarnya dikendalikan Low.
Operasi Falcon di Singapura dihentikan pengawal selia Singapura kerana digunakan untuk transaksi pengubahan wang dikaitkan dengan 1MDB, skandal pengubahan wang terbesar yang pernah berlaku di Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan Jabatan Peguam Negara dan polis Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial serta Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), pihak berkuasa berkata, notis merah itu disiarkan pada Oktober 2016 atas permintaan republik itu.
Notis merah Interpol ialah permintaan negara anggota untuk mengesan dan menahan sementara seseorang berdasarkan waran tangkap sah.

“Agensi penguatkuasaan dan pengawal seliaan undang-undang Singapura giat menyiasat kemungkinan berlaku pengubahan wang dan kesalahan lain berkaitan aliran dana 1MDB, bermula Mac 2015.

“Susulan siasatan itu, pihak berkuasa Singapura mengeluarkan waran tangkap pada April/Mei 2016 dan permintaan Singapura, Interpol menyiarkan notis merah pada Oktober 2016 ke atas Low dan Tan yang disyaki melakukan kesalahan di Singapura serta gagal dikesan di sini (Singapura).

“Semua anggota Interpol, termasuk Malaysia akan tahu notis merah itu apabila ia disiarkan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, pihak berkuasa Malaysia yang dilapor menyiasat dana pelaburan kerajaan bermasalah 1MDB mengeluarkan waran tangkap untuk Low dan menyediakan waran untuk 2 yang lain, termasuk seorang bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah urusan SRC International, menurut orang yang tahu perkara itu.

Agensi itu sedang menyediakan waran untuk bekas ketua dana itu, Shahrol Halmi dan Roger Ng, bekas pegawai Goldman Sachs yang memfokuskan Malaysia dan meninggalkan syarikat itu pada 2014.

Empat individu itu tidak didakwa dengan sebarang salah laku dan tidak jelas apa dakwaan yang menyokong waran berkenaan.
Semalam, Low dilapor mengarahkan peguamnya menghubungi SPRM selepas tahu agensi itu mencarinya untuk membantu siasatan.

Low yang sebelum ini mengakui melakukan kerja perundingan untuk 1MDB, digambarkan beberapa penyiasat antarabangsa sebagai invidivu penting di sebalik beberapa skim melibatkan kehilangan dana syarikat pelaburan negara itu. Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) menggambarkan Low sebagai individu yang hidup mewah dan orang penting menubuhkan syarikat kosong serta merancang pemindahan berjuta dolar kepada pegawai kerajaan Malaysia, sementara penyiasat Singapura menyifatkannya “orang penting”.
Pihak berkuasa Singapura berkata, negara itu tidak akan bertolak ansur sistem kewangannya dijadikan pelindung atau saluran untuk dana haram.

“Kami mengambil tindakan tegas terhadap institusi kewangan dan individu yang melanggar undang-undang dalam bidang kuasa kami berhubung aliran dana berkaitan 1MDB, termasuk tuduhan jenayah dan sabitan, serta penalti kewangan besar,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, siasatan itu diteruskan ke atas beberapa individu lain yang disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan 1MDB di Singapura.
Pihak berkuasa Singapura menemui pasukan khas menyiasat 1MDB Malaysia yang diketuai bekas peguam negara, Tan Sri Gani Patail di Singapura pada Khamis.

Pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan berkata, ia adalah mesyuarat produktif dengan pertukaran maklumat bermanfaat.
“Singapura membekalkan maklumat mengenai aliran dana berkaitan 1MDB kepada Malaysia sejak Mac 2015 dan ini diakui Malaysia. Kedua-dua pihak bersetuju meneruskan kerjasama ini,” menurut kenyataan itu.
FMT

No comments:

Post a Comment