Saturday, June 9, 2018

Manifesto: PAS minta rakyat sabar

 
   
Rakyat di negeri Kelantan dan Terengganu diminta bersabar berhubung janji-janji manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 seperti yang dijanjikan PAS sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini kerana ada manifesto yang perlu disegerakan dan ada pula yang memerlukan tempoh untuk melaksanakannya.

"(Pelaksanaan manifesto PAS) rakyat kena sabar, ada yang perlu disegerakan dan ada yang tunggu masa," katanya kepada pemberita di kediamannya selepas kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.
Terdahulu Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang diminta mengulas berhubung pelaksanaan manifesto parti Islam itu.

PAS Terengganu melalui manifestonya sebelum ini menawarkan air percuma, lot rumah kediaman untuk setiap isi rumah, wad kelas tiga percuma dan 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu jika kembali menawan Terengganu.

Janji PAS di Kelantan
Manakala di Kelantan, PAS menawarkan 14 teras utama dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kepada rakyat negeri itu sejajar dengan slogan mereka “Kelantan sejahtera bersama Islam”.

Antaranya mendaulatkan Islam, meneruskan kecemerlangan pendidikan, menyuburkan ekonomi dan memperkasakan pembinaan rumah rakyat.
Selain itu, PAS juga menyenaraikan hasrat melestarikan alam sekitar, mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, meningkatkan kemudahan asas, pembinaan Kelantan sejahtera, memperkasakan sektor pelancongan Islam dan pertanian.

Sementara itu mengulas pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, Abdul Hadi berkata setakat hari ini kerjasama antara jentera kerajaan dengan kerajaan adalah baik.
"Jentera kerajaan, eksekutif mesti menerima hakikat kerajaan yang memerintah walaupun mereka parti lain itu hak masing-masing tetapi urusan kerajaan harus kepada kerajaan yang sedia ada.

"Kita juga mendoakan kerajaan negeri bawah pimpinan menteri besar dan kita akan sama-sama dalam kepimpinan menteri besar. Kita tak akan biarkan menteri besar sendiri termasuk di Kelantan,” katanya.

Pada PRU14 9 Mei lalu, PAS berjaya mempertahankan pentadbiran negeri Kelantan di samping merampas negeri Terengganu daripada BN.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment