Rata-rata pengunjung yang ditemui amat teruja dan tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan jemaah menteri.
Mereka yang hadir dari seluruh negara terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, warga asing bekerja di Malaysia serta pelancong dari luar negara.
Hazlinda Mohd Hoshni, 32, antara pengunjung yang terawal tiba di Seri Perdana, teruja pertama kali hadir ke majlis rumah terbuka perdana menteri.
"Ini kali pertama saya datang dan saya bawa seluruh keluarga bersama untuk bertemu sendiri dengan Tun M (Dr Mahathir)," katanya kepada Bernama.
Dr Mahathir yang berbaju Melayu ungu serta lengkap bersamping songket dan bersongkok ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut dengan sorakan pengunjung sebaik sahaja beliau tiba di khemah utama.
Antara anggota Kabinet yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan Mohammad Sabu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beberapa ketika, suasana menjadi tegang apabila pengunjung merempuh pentas utama dan berebut-rebut untuk berjabat tangan dengan Dr Mahathir, namun keadaan berjaya dikawal polis.
Sementara itu, pengunjung dari Kepong, Christine Teh, 54, berkata kemeriahan majlis itu bukti semangat perpaduan rakyat 'Malaysia Baharu'.
"Saya sangat teringin berjumpa dengan Tun M dan mahu ucap terima kasih kepadanya. Saya tak pernah merasai sambutan Hari Raya semeriah ini. Inilah, semangat Malaysia Baharu," katanya penuh teruja.
Pelajar asing dari Jordan, Adham Taher 27, sanggup beratur panjang lebih dua jam hanya kerana mahu bertemu perdana menteri.
"Beliau (Dr Mahathir) antara pemimpin yang disegani di seluruh dunia dan dapat berjabat tangan dengan beliau satu pengalaman hebat," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment