(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Ibu bapa yang mempunyai anak menghidap kanser dinasihat
tidak tunduk kepada pihak yang menawarkan rawatan lain selain
disarankan doktor.
Penasihat Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) Dr Nor
Azizah Mohd Taib berkata terdapat ibu bapa yang terpengaruh dengan
dakyah bahawa rawatan kanser seperti kimoterapi akan membawa kesan lebih
buruk dan menolak rawatan tersebut.
“Saya sangat kesal dan ibu bapa hanya ke hospital apabila keadaan anak
bertambah buruk serta terlalu lewat untuk dirawat dan menyalahkan pihak
hospital selepas itu,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis
Jom KIDS Raya 2018 di Wisma Bernama di sini hari ini.
Dr Nor Azizah berkata sebaliknya rawatan kimoterapi ke atas anak-anak
kanser yang dikesan awal mempunyai peluang 80 hingga 90 peratus sembuh
berbanding orang dewasa.
Namun, katanya, sikap segelintir golongan yang mengaitkan kanser dengan
maut dan tidak mempunyai harapan sembuh mempengaruhi golongan ibu bapa
menjadikan hospital pilihan terakhir merawat anak mereka atau ‘lari’
daripada rawatan sepatutnya.
“Ibu bapa perlu mendengar nasihat doktor kerana rawatan yang kita
berikan berdasarkan data dan fakta sains yang dirujuk daripada
beribu-ribu kes dalam dan luar negara.
“Yang sakit anak kita, jangan terpengaruh dengan pihak lain yang
mencadangkan rawatan lain tanpa adanya fakta dan bukti yang menyembuhkan
penyakit itu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Nor Azizah menitipkan pesanan supaya ibu
bapa atau pihak yang mahu menyebarkan gambar kanak-kanak pesakit kronik
untuk tujuan mencari sumbangan atau sokongan, supaya lebih beretika.
Katanya, tidak salah untuk ibu bapa berbuat demikian namun perlu
mengelak menggunakan gambar kanak-kanak dalam keadaan terlalu
mengganggu.
“Bagi saya ia mengaibkan, meletakkan gambar dengan tumor besar di mata,
di tangan atau di kepala akan memberi pandangan kanser ini sakit yang
tidak boleh dirawat. Juga kanak-kanak nazak dalam keadaan sesak nafas
atau sebagainya.
Sebaliknya ibu bapa boleh menggunakan gambar ketika kanak-kanak masih
normal atau berada di peringkat awal sakit dan boleh ceritakan keadaan
semasa kanak-kanak itu,” katanya.
Sementara itu, Majlis Jom Raya KIDS 2018 mengumpulkan kira-kira 600 ibu bapa dan anak-anak kanser termasuk keluarga mereka.
Turut diadakan sumbangan duit raya kepada anak-anak kanser dan
adik-beradik mereka serta persembahan bakat oleh anak-anak kanser
berkenaan.
KIDS, sebuah badan bukan kerajaan ditubuhkan sekumpulan ibu bapa
kanak-kanak menghidap kanser yang dirawat di Wad Onkologi (Wad KK3),
Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur bertujuan mengumpul ibu bapa,
penjaga pesakit kanser yang sedang dan pernah menjalani rawatan di wad
berkenaan serta menyediakan sokongan emosi, semangat dan perkongsian
pengalaman. -Bernama
No comments:
Post a Comment