CHIANG RAI - THAILAND.Unit SEAL Tentera Laut Thailand tidak pasti sama
ada keajaiban atau kemajuan sains yang membolehkan kejayaan misi
menyelamat 12 remaja Thai dan jurulatih bola sepak mereka, semalam.
"Kami tidak tahu ia keajaiban, sains atau apa. Semua 13 anggota pasukan
Wild Boar berjaya keluar dari gua," kata unit itu di laman Facebook.
Kesemua 13 mangsa terperangkap di dalam gua Tham Luang yang dinaiki air
selama lebih dua minggu sebelum berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Anggota pasukan Wild Boar berusia 11 hingga 16 tahun itu bersama-sama
jurulatih mereka, terperangkap ketika meneroka gua berkenaan pada 23 Jun
lalu, hujan lebat menyebabkan laluan terowong dinaiki air banjir.
Mangsa ditemui pada hari kesembilan dalam keadaan lapar dan kepenatan
di tebing berlumpur beberapa kilometer di dalam gua oleh dua penyelam
Britain.
Operasi menyelamat dilancarkan Ahad lalu berjaya membawa keluar empat mangsa.
Empat lagi diselamatkan kelmarin manakala bakinya berjaya dikeluarkan semalam.
Kegembiraan itu disulami kesedihan susulan kematian seorang bekas
penyelam tentera laut yang maut ketika dalam misi menyampaikan bekalan
oksigen kepada mangsa. - Reuters
No comments:
Post a Comment