Wednesday, July 11, 2018

Menteri terima tawaran kurangkan kos HSR

 
    Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau telah menerima tawaran untuk mengurangkan kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Walaupun belum menerima cadangan rasmi, Lim memberitahu The Straits Times bahawa ini menunjukkan projek yang dimulakan oleh kerajaan terdahulu yang dianggarkan bernilai RM110 bilion adalah terlalu tinggi.

Lim berkata "ada yang menawarkan bahawa kita boleh potong (harga) sebanyak separuh" selepas Mahathir tidak menolak idea kemungkinan untuk membatalkan projek HSR.
"Kami tidak tahu sama ada itu serius... (tetapi) ia bermakna segalanya adalah terlalu mahal dan ini menimbulkan lebih banyak soalan," katanya dipetik sebagai berkata.

Lim berkata Putrajaya terbuka untuk meneruskan projek jika harga berkenaan adalah berpatutan.
"Ada asas untuk projek ini, tetapi bukan pada kos yang terlalu tinggi," katanya.
Singapura mendakwa republik itu terpaksa menanggung kos sedangkan Malaysia tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kedudukannya dalam projek berkenaan.

Mahathir, ketika ditanya mengenai rungutan Singapura itu, berkata republik berkenaan sepatutnya sudah tahu pendirian Malaysia walaupun tidak ada notis rasmi yang diberikan.

Apabila ditanya oleh The Straits Times jika Malaysia mempunyai pelan yang berbeza, Lim berkata perbincangan akan diadakan dengan Singapura.
Akhbar itu juga memetik sumber kerajaan Malaysia sebagai berkata kos pampasan untuk membatalkan projek HSR adalah lebih rendah daripada anggaran awal sebanyak RM500 juta, tidak termasuk kos yang telah dibelanjakan.

Walau bagaimanapun, sumber kerajaan juga mengapungkan idea pinjaman dari Singapura.
"Jika Singapura boleh menawarkan pinjaman mudah, ia akan mengurangkan kos faedah secara drastik," kata sumber itu lagi.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment