(Ubah saiz teks)
WAWANCARA eksklusif Sinar Harian dengan Ketua Pengarah
Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali kelmarin mengenai keazamannya
memerdekakan negara kita daripada pendatang asing tanpa izin (Pati),
berhadapan dengan pelbagai reaksi.
Segelintir memandang remeh hasrat jabatan itu mahu melancarkan operasi
secara besar-besaran mulai 31 Ogos depan bagi mengusir ribuan Pati.
Ada sebahagian yang menyokong tindakan itu dan ada yang memberi harapan kepada pihak berkuasa dalam usaha murni mereka itu.
Barangkali mereka yang ragu-ragu dengan kemampuan penguat kuasa itu
adalah yang terlepas pandang usaha gigih yang sudah lama dibuat oleh
Jabatan Imigresen.
Tetapi, mereka yang teliti sudah boleh tahu hasil yang dicapai.
Kita sudah nampak kurangnya kehadiran pendatang asing dalam
pengangkutan awam, seperti bas dan tren serta di pusat membeli belah di
setengah tempat akhir-akhir ini pun.
Pendatang asing yang bekerja di merata tempat seperti di pasar, kawasan
binaan dan restoran pun macam sudah banyak berkurangan mungkin
disebabkan operasi yang dijalankan.
Sepanjang tahun lalu, Jabatan Imigresen telah melakukan 16,737 operasi,
memeriksa 197,866 pendatang asing dan menahan 48,464 Pati di samping
1,293 majikan.
Seramai 38,880 Pati sudah pun diusir antara Januari dan September tahun lalu.
Jumlah Pati yang paling ramai diusir adalah dari Indonesia, diikuti Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
“Selain itu, setiap depot tahanan imigresen telah menjalankan aktiviti
pengusiran tahanan secara berkesan dan konsisten yang mana 45,970 orang
tahanan warga asing telah diusir keluar dari Malaysia sehingga November
tahun lalu,” katanya.
Program 3+1 juga diperkenalkan untuk membolehkan Pati yang berada di
dalam negara ini secara haram menyerah diri kepada Jabatan Imigresen
secara sukarela bagi melalui proses perundangan sebelum dihantar pulang
ke negara masing-masing.
Bermula 4 Januari hingga 10 Disember tahun lalu, kutipan kompaun dan
pas khas bagi program ini berjumlah hampir RM83 juta. Jumlah keseluruhan
kutipan bermula 2014 hampir RM268 juta.
Sehingga September tahun lalu, jumlah pekerja asing yang ada di negara
ini secara sah dikatakan 1.73 juta orang daripada pelbagai negara
seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.
Jumlah Pati di negara ini tidak dapat dipastikan, tetapi dipercayai mungkin lebih ramai daripada yang bekerja secara sah.
Macam mana mereka tidak sanggup mengambil risiko bekerja di tanah
bertuah ini memandangkan mereka boleh mendapat lebih RM4,000 sebulan.
Ramai Pati datang ke Malaysia sejak dua tiga tahun ini bukan lagi
melalui laluan tikus, tetapi dengan kapal terbang, menggunakan pasport
sah sebagai pelancong.
Tetapi apabila tempoh untuk mereka melancong tamat mereka terus tinggal
di negara ini secara haram. Ramai yang bersembunyi di kawasan-kawasan
pendalaman dan di pinggir hutan, tetapi ada yang berani hidup di
tengah-tengah masyarakat di bandar.
Mereka jadi lebih berani apabila ada orang kita yang sedia melindungi mereka, tentunya untuk mengaut untung.
Mustafar mengakui masalah lambakan Pati berlaku apabila ada ejen atau
orang tengah sanggup bawa seberapa ramai mungkin pekerja asing ke negara
ini bagi mendapat komisen.
Ada yang jalankan perniagaan sendiri, malah ada yang bukan sahaja
membeli premis dan perniagaan rakyat tempatan, malah menggaji orang
kita. Akhirnya pendatang haram pula jadi bos.
Pada mulanya mereka masuk sektor pembinaan dan perladangan, tetapi
akhirnya lari ke bidang yang paling mereka suka iaitu berniaga.
“Sebab itu kita nampak di pasar-pasar borong atau premis perniagaan
jualan barang runcit, warga Pakistan, Indonesia dn Bangladesh sudah
ramai. Ada juga yang sudah bergelar tauke dan mempunyai kedai sendiri.
Dia pula menggaji orang tempatan,” kata Mustafar.
Sekarang marilah kita, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan
lain-lain, membantu Jabatan Imigresen dalam usaha memerdekakan negara
ini daripada Pati.
PBT sebenarnya ada kuasa merobohkan penempatan haram yang didiami pendatang tanpa izin.
PBT dengan anggota agensi-agensi berkaitan lain patut juga adakan
pemeriksaan dan tindakan susulan dari semasa ke semasa di tempat-tempat
yang Pati disyaki berada untuk membantu Jabatan Imigresen menghakiskan
sedikit demi sedikit kehadiran Pati di seluruh negara ini.
Sedikit sebanyak, segelintir daripada kita yang jadi punca kebanjiran
mereka ke negara ini, jadi punca Pati bersembunyi di pinggir hutan atau
hidup di tengah-tengah masyarakat kita dan jadi punca mereka mengaut
sumber pendapatan yang sepatutnya milik kita
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment