Peguam bekas perdana menteri itu berkata tindakan itu
dibuat kerana mereka perlu 'menyelaras semula kes dengan peguam bela
Najib yang lain'.
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang
menyaman 3 pegawai kerajaan yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB, hari
ini menarik balik tuntutan mahkamah terhadap mereka.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke, yang mewakili Peguam Negara
Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan
Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh, berkata peguam
Najib menyampaikan tuntutan itu kepada pendaftar Mahkamah Tinggi semasa
pengurusan kes hari ini.
Ketika dihubungi FMT, peguam Najib Badrul Hisham Abdullah berkata
mereka menarik balik tindakan undang-undang itu kerana mereka perlu
“menyelaras semula kes dengan peguam bela Najib yang lain”.
“Saman itu difailkan sebelum dia didakwa. Senario itu berubah kerana dia kini dituduh,” katanya.
Badrul tidak menolak kemungkinan Najib akan memfailkan saman baharu
terhadap pegawai tertinggi terbabit, tetapi tidak memberikan butiran
lanjut.
Najib memfailkan tindakan undang-undang terhadap mereka bulan lepas
kerana bersikap prejudis terhadapnya sepanjang siasatan dijalankan dan
melalui kenyataan yang dikeluarkan mereka.
Pada 4 Julai, beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah dan 1
tuduhan salah guna kuasa berhubung wang berjumlah RM42 juta milik SRC
International Sdn Bhd yang dikatakan dipindahkan ke akuan peribadinya.
Kes Najib akan disebut semula pada 8 Ogos.
No comments:
Post a Comment