Rumah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Nilai Spring Heights dekat
Nilai telah dipecah masuk kira-kira pukul 4.55 pagi tadi, mengakibatkan
kerugian berjumlah RM14,900.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata ketika
kejadian terdapat tiga dewasa dan empat kanak-kanak di dalam rumah
tersebut, di mana dua daripada tiga mangsa dewasa telah diikat manakala
kanak-kanak yang sedang tidur tidak diusik.
“Kedua-dua mangsa telah dikumpulkan di ruang tamu rumah dan telah diikat menggunakan wayar telefon serta ditutup dengan selimut.
“Suspek disyaki tiga lelaki warga asing yang bersenjatakan parang dan
pisau serta memakai topeng. Kami percaya mereka memasuki kediaman dua
tingkat itu melalui tingkap gelongsor di belakang rumah,” katanya dalam
kenyataan media hari ini.
Noor Azam berkata ketika kejadian seorang pengawal keselamatan yang
menjaga rumah tersebut sedang tidur manakala kamera litar tertutup
(CCTV) tidak berfungsi.
“Antara barang yang dicuri, wang tunai berjumlah RM5,700, dua utas
rantai emas anggaran RM3,500, sebentuk cincin berbatu berlian anggaran
RM1,200, seutas gelang tangan emas anggaran RM1,500 tiga buah jam tangan
anggaran RM3,000.
“Pihak polis memohon agar orang ramai yang mempunyai maklumat
berhubung dengan kes ini supaya tampil untuk menyalurkan maklumat bagi
membantu polis dalam menjalankan siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.
- Bernama
No comments:
Post a Comment