Penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan antara punca utama pengurangan Tanah Simpanan Melayu (TSM).
Ketika mendedahkan perkara itu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan
Sri Abu Zahar Ujang lantas menggesa kerajaan Pakatan Harapan agar
memainkan peranan bagi mengekang hal tersebut dan memastikan tanah rizab
Melayu dipelihara.
Menurutnya penyalahgunaan kuasa berlaku di semua peringkat kerajaan
negeri menyebabkan penyusutan tanah rizab Melayu tidak dapat dibendung
meskipun terdapat dasar dan undang-undang berkaitan tanah itu di setiap
negeri.
"Kuasa menukar dan membatalkan status rizab Melayu terletak di tangan
eksekutif di setiap negeri, malangnya penyalahgunaan berlaku di setiap
peringkat – dari peringkat atasan hingga bawahan," katanya ketika
persidangan Meja Bulat Majlis Perundingan Melayu (MPM) - Media 2018 di
sini, hari ini.
"Kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana kita nak
sekurang-kurangnya 50 peratus pemilikan TSM seperti yang telah
diwasiatkan Raja-Raja Melayu dicapai. Rasuah perlu sentiasa dielakkan.
Kalau tidak, ia akan menjadi barah dan memberi kesan negatif," kata Abu
Zahar, juga anggota Lembaga Penasihat MPM.
-- LAGI
TANAH-RASUAH 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Dr Mohd Hasrol Haffiz Aliasak
berkata bagi mencapai 50 peratus pemilikan tanah rizab Melayu daripada
jumlah yang ditetapkan, keseragaman undang-undang berkaitan tanah rizab
Melayu perlu diwujudkan.
"Sekarang ini ada enam undang-undang yang berbeza antara
negeri-negeri berkaitan TSM dan ini menyukarkan keseragaman
undang-undang dibuat… kerajaan perlu semak balik hal ini dengan
memanggil kesemua menteri besar untuk memperkenankan supaya pentadbiran
tanah dibawa ke persekutuan.
“Mungkin boleh juga diadakan perbincangan bagaimana nak memperkasakan
tanah rizab Melayu dengan mereka," katanya ketika ditemui pemberita
selepas persidangan tersebut.
Mohd Hasrol Haffiz berkata berdasarkan analisis pihaknya, jumlah TSM
kini dianggarkan telah mencapai sebanyak 31.12 peratus (daripada jumlah
ditetapkan) berbanding hanya 12 peratus pada 2013 seperti yang
dilaporkan menerusi laporan Ketua Audit Negara pada 2013.
"Apabila laporan audit dikeluarkan mengenai penyusutan TSM,
negeri-negeri mengambil tindakan masing-masing untuk meningkatkan tanah
rizab Melayu dan saya jangka kesedaran ini telah meningkat berbanding
sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment