(Ubah saiz teks)
SEREMBAN – Jumlah guru yang mendapatkan khidmat kaunseling berkaitan pengurusan tekanan mencatatkan peningkatan di negara ini.
Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan
Malaysia, Normazwin Yahya berkata, pihaknya mempunyai hanya 326
kaunselor di seluruh negara, berbanding 480,000 jumlah guru.
Menurutnya, secara purata seorang kaunselor menjaga lebih kurang 1,400
guru seluruh Malaysia, berikutan kekangan jumlah kaunselor seluruh
negara.
“Berdasarkan kajian stress dan kemurungan yang dijalankan pada tahun
lalu, menunjukkan berlaku peningkatan sederhana tinggi dalam kalangan
guru, bagaimanapun ia adalah terkawal.
“Terdapat pelbagai faktor menyebabkan stress dan kemurungan berlaku
bukan sahaja kerana bebanan tugas tetapi masalah pergolakkan rumah
tangga, berjauhan bersama pasangan, ragam pelajar, juga boleh antara
penyumbang kepada masalah stress dalam kalangan guru.
“Jadi saya menasihatkan kepada guru-guru, jika mereka mempunyai tekanan
dan kemurungan sila dapatkan khidmat kaunselor di mana-mana Jabatan
Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah, dan berjumpa dengan
organisasi kaunselor kita, itu sedikit sebanyak boleh membantu,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Karnival
Transformasi Pendidikan Orang Asli, di Padang Awam Kampung Tekir Labu
dekat sini, semalam.
Katanya, dalam masa yang sama pihaknya juga berhasrat akan menambah
bilangan kaunselor di KPM pada masa akan datang, bagi membantu menangani
masalah tersebut dengan lebih berkesan.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JPN negeri, Maznah Abu Bakar dan Tok Batin Kampung Tekir, Ramli Taka.
Sementara itu, Normazwin memberitahu, melalui Karnival Transformasi
Pendidikan Orang Asli ini, pihaknya berhasrat untuk mendidik serta
memberi kesedaran kepada ibu bapa masyarakat orang asli supaya
mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka.
Katanya, pihaknya mahu membantu meningkatkan peratus kehadiran anak
orang asli ke sekolah sekurang-kurangnya 90 peratus berbanding 70
peratus sebelum ini.
“saya berharap melalui karnival dan road tour yang kita laksanakan ini,
dapat membantu dan memberi kesedaran kepada ibu bapa betapa pentingnya
pendidikan kepada anak-anak, sekali gus menghantar anak mereka ke
sekolah setiap hari tanpa gagal.
“Kalau boleh kita mahu ponteng sifar bagi masyarakat pelajar orang asli ini dapat dicapai pada masa akan datang,” katanya
No comments:
Post a Comment