PUTRAJAYA: Sebanyak RM16 bilion cukai yang tidak dibayar balik tetap
hilang daripada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) sama ada kerajaan
menggunakan sistem perakaunan tunai terubah atau sistem akruan, kata
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disahkan
Jabatan Akauntan Negara yang turut menggunakan sistem perakaunan tunai
terubah, menunjukkan baki kredit yang belum dibayar balik kepada
pembayar cukai berjumlah RM16.046 bilion setakat 31 Mei lalu.
“Keadaan begitu serius apabila ketua pengarah LHDN menulis surat
secara rasmi kepada bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan
Serigar Abdullah pada 2016 untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan
daripada Akaun Wang Yang Disatukan kepada TBBC, tetapi tidak diambil
peduli olehnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 1.65 juta individu dan syarikat tidak
menerima bayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion lebih 6 tahun lalu.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas menteri
kewangan, menerusi catatan di Facebooknya semalam berkata, Lim tidak
memahami kerajaan menggunakan sistem perakaunan tunai terubah dan bukan
standard perakaunan akruan sebagaimana digunakan sektor swasta.
Menurut Najib, Lim membuat kesimpulan salah kononnya kerajaan Barisan
Nasional (BN) tersalah lapor cukai belum dikembalikan sebagai
pendapatan dan menuduh kerajaan BN memalsukan akaun.
Lim berkata, tunggakan besar RM16 bilion sehingga lebih 6 tahun itu
berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan
yang bermesyuarat secara bulanan dan dipengerusikan Irwan Serigar, tidak
memindahkan peruntukan mencukupi kepada TBBC seperti dipohon LHDN.
“TBBC adalah akaun amanah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 111B Akta
Cukai Pendapatan 1967, bagi tujuan penyaluran peruntukan daripada Akaun
Wang Yang Disatukan, untuk pembayaran balik cukai.
“Perlu ditegaskan di bawah Seksyen 111B (2) Akta Cukai Pendapatan
1967, hanya menteri kewangan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan
berkenaan jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Akaun Wang Yang
Disatukan ke TBBC.”
Lim berkata, soalan penting yang harus dijawab Najib ialah mengapa
beliau membenarkan RM16 bilion cukai tidak dibayar itu, tidak
dikembalikan kepada 1.65 juta pembayar cukai dalam masa ditetapkan
mengikut undang-undang.
“Bukan sahaja pihak polis yang kini menjalankan siasatan ‘pecah
amanah’ di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berminat terhadap perkara
ini, tetapi rakyat juga ingin tahu jawapan kepada perkara berkepentingan
awam ini.”
No comments:
Post a Comment