24 Ogos 2011
(Oleh: Ahmad Fadli)
KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair hari ini memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan kes Fitnah II.
Bagaimanapun, Najib mengkehendaki notis yang singkat untuk hadir ke mahkamah, kata Sankara.
Perkara itu menurut Sankara dimaklumkan oleh pihak polis kepadanya.
“Kalau kita bagi notis dalam masa yang singkat, mereka (Najib dan isteri) akan datang ke mahkamah.
“Notis itu akan diberikan kepada polis dan polis akan memaklumkan mereka mengenai kehadiran ke mahkamah,” kata Sankara.
Beliau juga mengesahkan notis sapina yang dikeluarkan terhadap Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga telah diterima pasangan suami isteri itu.
Najib dan Rosmah sewaktu hadir ke mahkamah secara bersembunyi sebelum ini enggan ditemubual mahu pun menjadi saksi dalam perbicaraan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang itu.
Bagaimanapun, Jumaat lalu mereka diberikan notis sapina oleh peguam Anwar untuk hadir ke mahkamah.
Turut diberikan notis yang sama adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Rodhwan Yusof.KD
No comments:
Post a Comment