Tuesday, August 23, 2011

Permohonan maaf Najib ditolak editor Kompas...macamana ni Rais

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf yang dituntut Pejabat Perdana Menteri ke atas akhbar berpengaruh Indonesia, Kompas pada mulanya ditolak editor akhbar itu yang bertegas untuk mempertahankan artikel mereka, khusus berhubung kegiatan kongsi gelap yang dilakukan besan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu dinyatakan Malaysiakini, berdasarkan sumber yang diperolehnya.
Ahad lalu akhbar berpengaruh Indonesia itu memohon maaf kepada Najib berhubung laporan yang diterbitkan mengenai diri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel bertajuk ‘Istri PM Najib dan Cincin 24 Juta Dollar’ itu antara lain melaporkan pembelian berlian bernilai RM24 juta oleh Rosmah dan mendakwa bakal besan Najib dan Rosmah, Maira Nazarbayev, mempunyai hubungan dengan “mafia Rusia”. Manakala skandal pembunuhan kejam Altantuya yang dikaitkan dengan Najib, turut disiarkan dalam artikel berkenaan.

Berikutan timbul kebimbangan ia bakal menjejaskan reputasi Najib, dua penasihat perhubungan tidak rasmi perdana menteri dan salah seorang daripadanya dikaitkan dengan konglomerat Indonesia, meminta Kompas untuk meminta maaf.

Menurut sumber Malaysiakini, dua penasihat itu mengancam mengugut Kompas dengan tindakan undang-undang, tetapi ini juga gagal untuk menundukkan akhbar Indonesia yang berpengaruh itu.
Kompas, bagaimanapun bersetuju membuka ruang kepada Najib menjawab dan menangkis segala tuduhan dengan menghantar editor antarabangsa, Jimmy Harianto bagi menemubual Najib di Putrajaya pada Khamis lalu.

Bagaimanapun pada Ahad lalu, agensi berita nasional Bernama melaporkan Kompas telah meminta maaf kepada Najib.

Menurut Malaysiakini, tidak jelas mengapa Kompas membuat pusingan ‘u’ pada saat akhir, tetapi sumber berkenaan memberitahu keputusan itu dibuat dalam ‘situasi luar biasa’.

Namun, Kompas juga tidak membuat permohonan maaf secara penuh apabila ia menyiarkan permohonan itu pada perenggan 10 di halaman 10 akhbar berkenaan bertajuk ‘PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di
Malaysia’.

Selain menerbitkan penafian Najib, akhbar itu juga tidak menyatakan dakwaan dalam artikelnya tidak benar. Malah Kompas juga tidak menarik semula balik artikel, yang didakwa menghina Najib dan isterinya itu.

No comments:

Post a Comment