Tuesday, August 23, 2011

'Skrip bersumpah' PATI: KDN buat laporan polis

Ogos 23, 11

Kementerian Dalam Negeri hari ini menafikan pendaftaran Program Penyelesaian menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) sebagai muslihat kerajaan untuk menyeludup pengundi, sekali gus "cubaan untuk menjual kedaulatan negara".
Sehubungan itu, menurut timbalan menterinya, Datuk Lee Chee Leong, mereka yang berbuat demikian cuba memfitnah kerajaan.

"Ini satu lagi (dakwaan) fitnah," kata Lee pada sidang medianya di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat ke atas ahli parlimen PKR bagi kerusi Ampang Zuraida Kamaruddin kerana membuat dakwaan palsu itu.

Katanya, laporan dibuat di balai polis Seksyen 11, Shah Alam oleh Jabatan Imigresen Selangor dan akan disusuli dengan saman fitnah tidak lama lagi.

"Kita sedang menyiapkan saman itu... ia akan serentak (dengan laporan polis).

"Saya dengan ini memberi sokongan penuh kepada keputusan Jabatan Imigresen Selangor yang hari ini telah membuat laporan polis terhadap Yang Berhormat Zuraida sebagai langkah pertama sebelum tindakan lanjut diambil sebagai susulan.

"Tindakan ini adalah bukti bahawa kerajaan telus dan tidak berkompromi dalam dasar mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Menurut Lee, kerajaan telah memberikan Zuraida tempoh masa yang mencukupi bagi membekalkan bukti tetapi beliau gagal berbuat demikian.

Namun, katannya, pihak kementerian belum menyiasat dakwaan ahli parlimen itu berhubung wujudnya “skrip bersumpah” yang perlu dibaca pendatang asing tanpa izin ketika berdaftar dengan Program 6P.

"Kita tidak boleh menyiasat tanpa bukti (berhubung dakwaan itu),” katanya.

Zuraida pada 16 Ogos lalu dilaporkan mendakwa hasil siasatan PKR mendapati
kerajaan mensyaratkan pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya membaca 'skrip bersumpah' dengan menyatakan sokongan kepada Umno dan BN sebagai sebahagian proses pemutihan.

Pada skrip itu, tertulis teks "Saya/suami/isteri/anak-anak tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/BN".

Justeru, Zuraida menyelar Program 6P sebagai muslihat jelas kerajaan untuk menyeludup pengundi sekaligus melabelkannya sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan negara.MK

No comments:

Post a Comment