Saturday, November 5, 2011

AUKU:DAP gesa Najib - Mansuh seksyen tak ‘logik’ tanpa tunggu Gani Patail,



November 05, 2011
KUALA LUMPUR, 5 Nov — Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua hari ini menggesa pentadbiran Najib agar memansuhkan peruntukan undang-undang yang tidak demokratik dan tidak munasabah, yang menghalang penuntut-penuntut universiti daripada menyertai politik.
Ahli Parlimen itu mendakwa kerajaan melepaskan tanggungjawabnya apabila ia mengumumkan bahawa telah memutuskan untuk menyerahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam menentukan sama ada mahu merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan, yang Isnin lalu memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kata Pua (gambar), tidak kira apa keputusan Peguam Negara kelak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus mengambil inisiatif dan memulakan proses mengeluarkan peruntukan-peruntkan yang tidak berperlembagaan dari AUKU.
Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara sama ada mahu merayu atau tidak keputusan Mahkamah Rayuan, yang menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) AUKU 1971 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya dah beri taklimat kepada Kabinet. Tindakan selanjutnya, (akan diambil) selepas saya bincang dengan Peguam Negara,” katanya.
Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.
Dalam kenyataannya, Pua menambah, pemimpin kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah menunjukan sokongan terhadap keputusan mahkamah tempoh hari.
“Bagaimanapun, kerajaan BN sebaliknya memilih untuk mengetepikan harapan yang tinggi orang ramai dan melepaskan tanggungjawabnya kepada Peguam Negara untuk membuat kajian,” katanya.
Kata beliau, alasan itu kelihatan sesuatu yang tempang sedangkan “Kabinet seharusnya mengambil peluang untuk membuat pengumuman mengenai pindaan AUKU khususnya yang berkaitan dengan Seksyen 15.”
Pua juga berkata, ekoran pengumuman Najib dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia, rakyat Malaysia sebenarnya mengharapkan Kabinet akan memansuhkan halangan-halangan yang wujud dalam dunia akademik.
“Sebenarnya, Kabinet seharusnya mengambil keputusan tegas bukan sahaja untuk meminda Seksyen 15(5)(a), tetapi juga Seksyen 15 AUKU yang menghalang sama sekali kebebasan akademik dan pelajar-pelajar di universiti tempatan,” kata Pua lagi.
Katanya, tanpa kebebasan akademik universiti-universiti tempatan tidak boleh mencapai matlamat untuk menjadi institusi berkelas dunia.TMI

No comments:

Post a Comment