Harakahdaily
25 Nov 2012 |
KUALA LUMPUR: Penganugerahan
Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat
kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena
Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) kelmarin
menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad (gambar)
berkata, penganugerahan tersebut kelihatan agak janggal jika
dibandingkan dengan prestasi beliau mentadbir Negeri Sembilan terutama
dalam sudut ekonomi negeri.
Sebagai contoh, ujarnya jika diteliti pada tahun 2010, kerajaan
Negeri Sembilan memiliki ‘aset’ berjumlah RM23.40 juta dalam bentuk
saham di beberapa syarikat seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad,
Malaysia Airport tetapi menjelang tahun 2011 pegangan tersebut cuma
tinggal RM590,000 sahaja.
Lebih jelas lagi, katanya pendapatan kerajaan negeri dari hasil utama
seperti cukai tanah, terimaan dari agensi, perkhidmatan, perolehan dari
segi lesen dan permit dari tahun 2010 berjumlah RM326.99 juta menurun
dengan serius kepada RM280.11 juta pada 2011.
Beliau menabmah, lebih malang, apabila peruntukan yang diberikan
untuk Hal Ehwal Agama Islam menurun dari RM7.15 juta pada tahun 2010
kepada RM5.63 juta pada 2011. Selain itu, peruntukan pembangunan agensi
kerajaan bawah kerajaan negeri dari RM85 juta berkurangan kepada RM82.49
juta.
“Kita bukan mahu menafikan penganugerahan itu, tetapi kita risau
sekiranya penganugerahan tersebut berunsur politik. Iaitu menjadi satu
alat untuk beliau menarik sokongan rakyat kepada beliau seterusnya
mengukuhkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar. Di samping cuba
menyingkirkan pesaing-pesaing dari kalangan pimpinan Umno Negeri
Sembilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
No comments:
Post a Comment