KUALA LUMPUR, 12 Mac — Insentif yang diumumkan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak untuk penjawat awam semalam hanya akan dinikmati
oleh golongan tersebut apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan
Putrajaya dan melaksanakan manifesto , kata Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Naib
Presiden PAS itu berkata, perkara itu disebabkan pendapatan boleh guna
rakyat yang semakin meningkat selepas kerajaan PR berjaya melaksanakan
segala janji-janji manifesto selepas mengambil alih Putrajaya apabila
memenangi pilihan raya umum.
Antara janji manifesto PR, “Pakatan Harapan Rakyat” adalah
memansuhkan tol, penurunan harga minyak, pemansuhan Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kajian semula tarif elektrik,
pemansuhan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan banyak lagi.
“Kenaikan itu tidak beri manfaat besar kepada kakitangan sektor awam
jika manifesto PR tidak dapat dilaksanakan ... dengan penurunan harga
minyak, mansuh tol, kajian semula tarif elektrik, pendidikan percuma
dengan mansuh PTPTN, dengan AES yang akan dimansuhkan serta GST (Cukai
Barangan dan Perkhidmatan) yang pasti tidak akan dilaksanakan, barulah
kenaikan itu akan beri lebihan dalam poket penjawat awam,” kata Mahfuz
kepada The Malaysian Insider.
“Kalau kenaikan itu dibuat, sedangkan selepas pilihan raya umum,
minyak naik, tol naik, elektrik naik, AES akan dilaksanakan, GST akan
dikenakan ... apalah yang ada,” katanya, dan menambah kakitangan awam
seharusnya berpandangan jauh untuk memastikan PR dapat berkuasa dan
menjamin kesejahteraan penjawat awam.
Malah, Mahfuz turut memberi jaminan, skim yang diumumkan Najib
semalam itu juga bukan sahaja akan diteruskan, tetapi akan ditambah baik
agar selari dengan bebanan kos sara hidup ditanggung penjawat awam.
“PR beri jaminan kepada kakitangan awam, polis, dan tentera, kenaikan
itu tidak akan ditarik balik, malah akan disempurna dan diteruskan bila
PR ambil alih Putrajaya.
“Malah, PR berjanji semakan yang berkala akan ditentukan tempohnya
dan semakan akan dibuat semasa ke semasa bagi menjamin gaji penjawat
awam, berpadanan dengan keadaan tuntutan semasa, seperti inflasi, untuk
pastikan mereka tidak terbeban kos sara hidup,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kenaikan
gred gaji bagi mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan untuk
disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam sistem saraan baru yang
digelar Sistem Saraan Transformatif (SST) yang meningkatkan perbelanjaan
sebanyak RM1.5 bilion.
Najib berkata, penyelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari 2013 dan
melibatkan 102,434 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 131,904
anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala bagi penjawat awam
lain, kenaikan gaji antara RM80 dan RM320 sebulan akan bermula pada 1
Julai.
The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment