KUALA
LUMPUR, 12 Mac — Pendedahan bapa Saiful Bukhari Azlan minggu lepas
telah mencetuskan keraguan keatas pertuduhan Liwat II terhadap Datuk
Seri Anwar Ibrahim, kata bekas polis tertinggi Datuk Mat Zain Ibrahim
hari ini, sambil menambah percanggahan yang berbeza memungkinkan kes
tersebut tidak wajar lagi diteruskan.
Anwar (gambar) telah dibebaskan atas pertuduhan
liwat pada Januari tahun lepas tetapi rayuan kemudiaannya difailkan oleh
Pejabat Peguam Negara dan pendengaran telah ditetapkan pada 22 Julai
ini.
Mat Zain, yang merupakan bekas Ketua Inspektor (CID) Kuala Lumpur
yang menjadi tumpuan dalam kes siasatan “mata lebam” Anwar, menulis satu
lagi surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua
Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini bahawa kes Liwat II telah
dibayangi dengan kepalsuan yang terlalu banyak.
Beliau menamakan nama perdana menteri dan peguam negara Tan Sri Abdul
Gani Patail dengan menuduh mereka menipu dalam affidavit yang
difailkannya untuk mengenepikan sapina dalam Liwat II dan mengulangi
dakwaan Abdul Gani telah mereka keterangan dalam Liwat I dan siasatan
mata lebam Anwar.
“Pada pandangan saya walaupun tiada pendedahan dibuat oleh Azlan
Lazim (bapa Saiful), sebutan kes Liwat II tidak boleh lagi diteruskan,”
kata pegawai polis yang sudah bersara tersebut.
Bekas pemimpin polis tertinggi tersebut telah menulis banyak surat
kepada Najib sejak kebelakangan tahun ini, serta mengulangi salah guna
kuasa dalam pasukan polis dan membuat tuduhan rasuah yang berani
terhadap Abdul Gani dan bekas KPN Tan Sri Musa Hassan, khususnya kes
melibatkan Anwar.
“Gani Patail, sebagai seseorang yang memiliki kata putus untuk
mendakwa Anwar dalam Liwar II dan memfailkan rayuan apabila Mahkamah
Tinggi membebaskan beliau, boleh dibuktikan sebagai seorang yang telah
melakukan banyak penipuan dan pemalsuan bukti-bukti untuk mensabitkan
Anwar dalam pertuduhan jenayah sejak 1998,” kata Mat Zain hari ini.
“Kesimpulannya, ia boleh dibuktikan Gani mempunyai niat jahat terhadap Anwar sejak 1998,” tulis beliau dalam sepucuk surat.
Dalam sidang media tertutup Jumaat lepas, Azlan telah membuat
pengakuan mengejut apabila mengatakan Liwat II adalah konspirasi politik
melibatkan anaknya, yang merupakan pengadu dalam kes tersebut.
Menurut Azlan, individu tertentu telah mengambil kesempatan dan
mempergunakan anaknya untuk kepentingan politik, sambil menambah
situasi genting ketika itu menyebabkan beliau tidak ada pilihan selain
memberikan sokongan kepada Saiful di mahkamah.
“Malahan, anak saya (Saiful Bukhari) sendiri tidak pernah
menceritakan tentang kejadian (liwat) dan pertuduhan tersebut kepada
saya... saya juga tidak pernah dipanggil menjadi saksi dalam kes
tersebut,” terang Azlan Jumaat lalu.
Sebaik pendedahan tersebut, Saiful juga telah mengadakan satu sidang
media mengejut pada sebelah petangnya dan menafikan kes liwat kedua
tersebut adalah konspirasi serta tiada penglibatan pegawai di Pejabat
Perdana Menteri.
Kes liwat kedua Anwar bermula setelah laporan polis dibuat oleh
Saiful, bekas kakitangan beliau mendakwa telah diliwat oleh penasihat
PKR tersebut.
Saiful mendakwa dirinya telah diliwat oleh Anwar di unit kondominium
Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30
petang pada 26 Jun 2008.
Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Walau bagaimanapun, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah atas kes liwat yang
dihadapi oleh beliau.
Namun, pada 20 Januari 2012 Pejabat Peguam Negara telah memfailkan
rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan
Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful.
Notis itu yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara Datuk Idrus
Harun telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala
Lumpur.
Pendakwaan memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang
melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful akan
didengar Julai ini.
Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.
No comments:
Post a Comment