Datuk
Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib hari ini mengesahkan
pemilik hartanah di ibu kota akan dikenakan tarif cukai baru bermula
Januari 2014.
Beliau berkata, kenaikan itu disebabkan peningkatan kadar penilaian
semula yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kenaikan cukai pintu bukan disebabkan kenaikan peratusan cukai baru
tetapi peningkatan itu adalah penilaian semula hartanah yang dilakukan
oleh DBKL.
"Kadar baru itu akan diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas tarikh tutup bantahan berhubung
kenaikan cukai baru itu," katanya pada satu sidang media selepas
pertemuan bersama Ahli parlimen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat DBKL hari
ini.
Katanya, Tengku Adnan akan mencari jalan terbaik bagi memastikan kenaikan kadar cukai itu tidak membebankan rakyat.
Tengku Adnan yang turut hadir di sidang media itu berkata penilaian
semula nilai hartanah diperlukan bagi DBKL setelah 21 tahun tidak
melakukan kajian.
“Ia sebenarnya memberi faedah kepada pemilik hartanah. Keputusan kami akan bersifat menang-menang untuk kedua-dua pihak.”
Beliau turut tidak menolak kemungkinan memberikan kadar diskaun terhadap cukai baru itu.
Katanya, dana yang bakal diperoleh melalui pembaharuan cukai itu nanti
akan digunakan untuk pembangunan bandar dan penyelenggaraan.
“DBKL menerima dana daripada kerajaan namun apa yang kami cuba lakukan
adalah mencari dana sendiri melalui cukai taksiran dan jenis cukai yang
lain.”
Ketika ditanya mengapa DBKL tidak menggunakan dana sendiri bagi
membiayai projek dan proses naik taraf, beliau berkata wang tersebut
tidak boleh disentuh yang merupakan deposit selamat DBKL.
Dalam pertemuan bersama ahli parlimen Kuala Lumpur hari ini, beliau
meminta wakil rakyat itu menyampaikan kepada umum berhubung apa yang
cuba dilakukan DBKL.
Katanya, ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan pemilik hartanah yang
menerima surat daripada DBKL berhubung kadar baru cukai pintu.
Tengku Adnan berkata daripada 500,000 surat yang dihantar, 2,500
jawapan bertulis telah diterima daripada pemilik yang menyatakan
bantahan.
“Jumlah yang dicetak dalam surat itu bukanlah jumlah sebenar yang harus
dibayar. Jumlah itu hanyalah kadar sewa tahunan hartanah. Jumlah yang
perlu dibayar hanya peratusan kecil daripada kadar sewa tahunan yang
belum lagi diputuskan,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang yang ditemui
selepas mesyuarat itu berkata semua ahli Parlimen Kuala Lumpur termasuk
Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati terhadap kenaikan nilai
taksiran baru itu.
Katanya, mereka telah mencadangkan beberapa formula seperti penangguhan
kenaikan untuk tempoh enam bulan dan membuat penilaian semua terhadap
kenaikan nilai taksiran DBKL.
"Nampaknya DBKL tidak bersedia menangguh atau membatalkan kenaikan
nilai taksiran ini. Bagaimanapun, menteri telah bersetuju untuk menyemak
semula dua perkara iaitu kadar cukai ditimbang semula seperti kediaman
6% dan komersil 12%.
"Menteri bersetuju mempertimbangkan kadar lebih rendah selain kerajaan
mempertimbangkan pemberian diskaun terhadap kadar yang akan dibayar.
Beliau berkata ahli Parlimen Kuala Lumpur tidak meyakini proses diskaun
itu akan berlaku sambil menyatakan pendirian rakyat tidak harus
dibebankan dengan kadar kenaikan berbanding kadar inflasi.
"Kenapa tidak ikut Indeks Harga Pengguna untuk dijadikan panduan?
Sekarang mereka gunakan potensi sewa sebagai panduan. Kami akan
mengemukakan bantahan di Parlimen agar kenaikan itu dikaji semula kerana
saya percaya DBKL tidak mempunyai sumber manusia yang cukup untuk
mendengar kes demi kes.
"Tahun lalu Datuk Bandar mengakui tanpa kenaikan cukai pintu, DBKL
mampu menyediakan segala kemudahan yang diperlukan dan memungut lebih
dana kerana lebih banyak rumah dibina di Kuala Lumpur selain berada
dalam bajet yang selesa,” katanya. – 21 November, 2013. TMI
No comments:
Post a Comment