Saturday, June 28, 2014

'Perlembagaan jelas bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan'

 28 Jun 2014
Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menentukan agama kanak-kanak bawah umur, dan mereka yang meraguinya sama ada tidak faham atau "lembap", kata Presiden Majlis Peguam Christopher Leong.

"Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, dibaca dengan Perkara 160 dan Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan, sebenarnya sudah
jelas bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan bagi penukaran agama anak-anak.

"Bagaimanapun, kebelakangan ini menunjukkan bahawa ada pihak yang sama ada tidak memahaminya atau lembap," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengambil usaha baru bagi meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi membuat kedudukan itu menjadi jelas, kerana penukaran agama sepihak bagi anak bawah umur tidak mengikut perlembagaan.

Beliau berkata, draf pindaan itu telah dibincangkan antara Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, dan pelbagai NGO sebelum ini.

"Bagaimanapun, pindaan yang dicadangkan ini telah ditangguhkan oleh kerajaan untuk rundingan lanjut, dan kemudian nampaknya seperti telah dilupakan," katanya.

Beliau mengulas kes-kes hak penjagaan antara agama membabitkan S Deepa dan M Indira Ghandi ekoran keengganan kerajaan untuk menguatkuasakan keputusan mahkamah sivil yang memberi hak jagaan kepada ibu bukan Islam.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment