“SAYA hadapi perkara ini dengan tabah, ini dugaan Ramadan,”
kata Awie kepada pemberita selepas mengaku tidak bersalah menyebabkan
kecederaan ke atas isterinya, Rozana Misbun,36, di Mahkamah Majistret
Ampang hari ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman,46, berkata, perkara
paling penting baginya sekarang adalah untuk terus membesarkan
anak-anak.
“Alhamdulillah, saya rasa tiada apa-apa. Kehidupan saya akan
diteruskan seperti biasa, yang penting saya hendak menjaga anak-anak
saya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesahihan gambar yang menunjukkan Rozana dipukul, Awie enggan memberi sebarang komen.
“Tiada komen, kita jumpa di mahkamah nanti dan kita akan tahu apa yang berlaku,” ujar pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah itu.
Terdahulu Awie didakwa di Mahkamah Majistret hari ini terhadap
pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, dua minggu lalu.
Namun Awie mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Awie didakwa menyebabkan kecederaan
parah terhadap Rozana di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, kira-kira
jam 1.30 petang 2 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan
denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan
dua penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes.MYNEWSHUB
No comments:
Post a Comment