KOTA BAHARU:
Hanya pentas muktamar sahaja yang boleh memutuskan sama ada PAS kekal
bersama Pakatan Rakyat atau sebaliknya kata Timbalan Mursyidul Am PAS,
Ustaz Datuk Ahmad Yakob.
“Sekiranya ada dua kumpulan, satu mahu membawa PAS keluar dari
Pakatan dan satu lagi mahu dikekalkan dalam Pakatan Rakyat, ia hanya
akan diputus di muktamar di Kuala Selangor hujung minggu ini.
“Saya fikir tidak berbangkit golongan didakwa mahu keluar PAS atau
mahu PAS keluar dari Pakatan. Kita kekal di sini. Kalau ada orang mahu
keluar maka orang itulah yang bergerak keluar,” ujarnya ketika ditemui
di sini kelmarin.
Muktamar PAS kali ke-61 bermula 4 Jun ini di Kuala Selangor. Muktamar dewan-dewan bermula sehari sebelum itu.
Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS tetap
berpegang teguh kepada disiplin berjamaah dan gerak kerja parti berasas
akidah Islamiah.
Beliau juga berharap mana-mana pemimpin hendaklah menggunakan ruang
di muktamar untuk menyuarakan apa sahaja dan bukannya bercakap di luar
gelanggang.
“Kita faham dalam berpolitik, kita tidak boleh lari, ada sedikit
sebanyak sokongan mana-mana pihak, tetapi yang boleh menentukan
keputusan dan kedudukannya ialah muktamar, insya-Allah.
“Kita memberi ruang perwakilan bersuara. PAS mengamalkan dasar
demokrasi, maka muktamar merupakan forum yang terbaik untuk kita memberi
pandangan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 31/5/2015
No comments:
Post a Comment