Friday, September 11, 2015

Anwar: Baju Merah tunjukkan 'kegagalan moral' Umno

Malaysiakini 10/09/15
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin Umno yang membenarkan anggota Umno menyertai perhimpunan 'Baju Merah' pada 16 September depan.

Anwar berkata tindakan pemimpin Umno itu "memperlihatkan kegagalan moral pada kepimpinan mereka", dan menegaskanperhimpunan itu tidak wajar kerana ia mengapi-apikan isu perkauman yang dibantah oleh Islam dan budaya Melayu.
"Adalah wajar pertahankan hak dan 

keadilan bagi semua kaum dan rakyat Malaysia termasuk mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.
"Namun kita tidak wajar mengapikan isu perkauman yang dibantah oleh Islam dan budaya Melayu, seperti yang dirancang melalui perhimpunan baju merah pada 16 September.

"Kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi serta sekerat pemimpin Umno lain bahawa ahli Umno bebas untuk menyertai perhimpunan sedemikian, memperlihatkan kegagalan moral pada kepimpinan mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Zahid yang juga naib presiden Umno memberi lampu hijau kepada anggota Umno menyertai himpunan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula juga berpandangan yang sama tetapi mengingatkan anggta Umno supaya mematuhi undang-undang.

Perhimpunan itu dilapor diadakan di kawasan Bukit Bintang dan Jalan Petaling sebagai membantah himpunan BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.
Dijangka 300,000 peserta akan hadir dalam perhimpunan itu.

Dalam kenyataan yang diedarkan oleh komunikasi PKR itu, Anwar menegaskan himpunan tersebut bertujuan mengalih pandangan rakyat dari kemelut politik dan kegawatan ekonomi yang terus melanda negara.

"Rakyat tidak wajar terpedaya atau termakan oleh taktik pecah-belah seperti ini," katanya yang kini di penjara di Sungai Buloh.
Razlan: paku dulang paku serpih
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Mohd Razlan Muhammad Rafii menyifatkan bekas ketua pembangkang itu sebagai “paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”.

“Anwar Ibrahim berkata pada diri beliau sendiri, kita bukan tak tahu sebelum ini, dikatakan beliaulah merupakan penggerak kepada perhimpunan haram BERSIH,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Mohd Razlan, beliau yakin perhimpunan baju merah itu akan berlangsung secara aman dan tidak akan mengganggu orang awam.

“Sekarang perhimpunan ini adalah secara aman dan tidak akan menganggu kawasan orang awam seperti BERSIH yang gilakan Dataran Merdeka,” katanya.

No comments:

Post a Comment