SEBERANG TAKIR – “Sejak kecil sehingga usia 28 tahun sekarang, saya
belum terlepas sepenuhnya daripada gangguan (makhluk halus), malah
keadaan sama turut dialami empat adik beradik saya lain,” demikian kata
seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nur.
Nur merupakan salah seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di Pusat
Perawatan Rabbani di Seberang Takir sejak lebih setahun lalu kini
mengakui kesihatannya bertambah baik, namun masih mengalami gangguan
pada waktu-waktu tertentu.
Nur berkata, kesengsaraan itu terpaksa ditanggungnya serta empat
beradik lain sejak berpuluh tahun lalu dipercayai akibat perbuatan
khianat pihak tertentu kepada keluarga mereka.
“Sejak kecil saya bukan sahaja sering mengalami mimpi buruk, berdepan
masalah kesihatan seperti demam dan batuk dalam tempoh yang lama, selain
cepat merasa letih terutamanya pada waktu Maghrib.
“Pada awalnya, saya hanya merasakan ia perkara biasa, namun setelah
berlarutan sejak sekian lama, kedua ibu bapa saya mendapatkan khidmat
ustaz, namun tidak lama setalah mendapatkan rawatan, gangguan itu akan
datang kembali.
“Keadaan itu turut dialami empat adik beradik saya lain dan sehingga
kini gangguan itu masih lagi ada, namun Alhamdulillah setelah
mendapatkan rawatan di sini (Pusat Rawatan Rabbani) keadaan beransur
pulih,” katanya yang mempunyai sembilan beradik, di mana kini menetap di
Kuantan, Pahang dan berulang-alik ke Terengganu bagi mendapatkan
rawatan.
Dua kali dibuang kerja
Seorang lagi pesakit yang hanya ingin dikenali sebagai Mohd berkata,
gara-gara gangguan dan dipercayai terkena buatan orang, dia bukan sahaja
dua kali dibuang kerja, tetapi sanggup memukul kepala sendiri kerana
tidak tahan dengan kesakitan melampau.
Menurut Mohd, sakit yang disifatkan sebagai gangguan itu dialami sejak
berbelas tahun lalu dan lebih 10 orang khidmat ustaz telah ditemuinya
bagi menyelesaikan ‘sakit’ yang dialaminya itu.
“Oleh kerana terlalu kerap mengambil cuti disebabkan sakit kepala yang
melampau, saya telah dua kali dibuang kerja oleh majikan yang berbeza
dan sehingga kini keadaan diri masih tidak menentu.
“Namun, sejak kebelakangan ini, sakit agak berkurang, namun ada waktu
tertentu ia akan menyerang hingga mengakibatkan adakalanya saya hilang
pertimbangan dengan memukul kepala sendiri kerana tidak tahan dengan
kesakitan,” katanya.
Katanya, selain gangguan sakit kepala yang melampau, sekiranya penyakit
itu menyerang turut membuatkan dirinya tidak bermaya serta tidak mampu
untuk melakukan apa-apa kerja.
Amal baca al-Quran
Sementara itu, Pengasas Persatuan Kebajikan dan Perawatan Rabbani,
Datuk Dr Abdullah Abu Bakar berkata, sebahagian besar pesakit yang
mendapatkan rawatan di pusat berkenaan terdiri daripada mereka yang
mengalami gangguan sama ada sihir atau santau.
“Alhamdulillah, sejak pusat rawatan ini beroperasi beberapa tahun lalu,
kejayaan rawatan sehingga 90 peratus dan kita sangat berharap agar
semua pesakit yang datang mendapatkan khidmat rawatan sepenuhnya
menggunakan ayat-ayat cuci al-Quran dan seratus peratus perawatan Islam
ini akan sembuh.
“Tidak dapat dinafikan, kebanyakan pesakit yang datang disebabkan
terkena buatan orang, gangguan makhluk halus, saka, jin dan sebagainya,
di mana wanita pesakit paling ramai.
“Selain memberikan rawatan, kita juga sentiasa menasihatkan pesakit
agar sentiasa mengamalkan bacaan al-Quran bagi mengelak gangguan makhluk
halus ini,” katanya.
Katanya, pusat yang mempunyai tujuh perawat termasuk lelaki dan wanita
ini hanya mengenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM30 untuk semua
pesakit dan beroperasi setiap Sabtu mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah
hari.
“Setiap Sabtu rawatan ini, akan dibuat di Surau Al-Nur, Jalan Ketapang,
Telaga Daing dan untuk hari-hari biasa, pesakit boleh terus menghubungi
perawat untuk mendapatkan khidmat rawatan di rumah mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment