KUALA TERENGGANU – Isu pertemuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar
dilihat seolah-olah cuba diperbesarkan dan cuba dimanipulasi untuk
mengalih perhatian terhadap isu-isu lain yang lebih besar dalam negara.
Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad berkata, sebagaimana
dijelaskan Nurul Izzah sebelum ini mengenai pertemuan dengan Puteri
Sulu, Jacel Kiram di Filipina, ia bukanlah pertemuan yang mendorong
terhadap ancaman kepada negara.
Beliau turut percaya bahawa penyebaran gambar Ahli Parlimen Lembah
Pantai itu dengan individu terbabit cuba diperbesarkan sedangkan ia
tidak mempunyai motif berkait keselamatan apatah lagi Nurul Izzah yang
dikatakan tidak sensitif terhadap mangsa tragedi Lahad Datu telah pun
meminta maaf kepada pihak berkenaan.
“Walaupun kami pembangkang tetapi tiada yang mahu melihat Malaysia
diserang sebaliknya semua pemimpin dalam negara termasuk Pakatan Harapan
mahu lihat Malaysia hebat di dunia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan penyebaran gambar terbabit bertujuan menjatuhkan kredibiliti Nurul Izzah.
Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, polis berkemungkinan akan
menyiasat tindakan Naib Presiden PKR itu bertemu Jacel Kiram, mengikut
Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya
berkemungkinan akan memanggil Ahli Parlimen Lembah Pantai itu minggu
depan bagi membantu siasatan.
Berhubung perkara itu, Wan Bukhari bagaimanapun tidak menafikan tugas
pihak keselamatan namun berharap perkara sedemikian tidak
diperbesar-besarkan.
Apatah lagi katanya, tiada bukti mengenai tuduhan dilemparkan terhadap
Nurul Izzah membabitkan pertemuan tersebut ketika ini, namun yang jelas
ia diaturkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagaimana dakwaan Nurul
Izzah.
“Boleh jadi isu ini untuk menutup isu-isu berbangkit dalam negara
seperti 1MDB dan TPPA. Mungkin hendak tutup isu-isu panas, jadi guna isu
Nurul Izzah sebagai modal,” katanya.
No comments:
Post a Comment