Sunday, November 22, 2015

Diikat dengan wayar kipas

Diikat dengan wayar kipas
Rakaman CCTV berjaya mengesan setiap tindakan perompak di dalam rumah. Gambar kecil: Chee Keong menunjukkan bagaimana dirinya diikat dengan tali kipas oleh penjenayah di rumahnya, semalam.
 
SEREMBAN – Sebuah keluarga berhadapan detik-detik cemas apabila rumah kediaman mereka dimasuki perompak bersenjatakan parang di Taman Sri Kamban, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 4.30 pagi itu, rumah dua tingkat yang didiami empat beranak itu dimasuki empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, pisau, pemotong besi dan pemutar skru ketika mangsa sekeluarga sedang tidur.

Mangsa, Lee Chee Keong, 29, berkata, dia bersama adik lelakinya, Lee Chee Seng, 20, sedang tidur di bilik di tingkat atas manakala bapa, Lee Hock Mun,59, dan ibunya, Chong May Kam, 50, tidur di bilik bawah.
"Tiba-tiba, saya dikejutkan sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata. Mereka terus pegang tangan saya dan arahkan saya bersama adik turun melalui tangga ke tingkat bawah.
"Kami dibawa ke bilik bawah iaitu bilik mak dan ayah dan mereka ikat kami berempat guna wayar kipas elektrik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Kamban Baharu, di sini, semalam.

Menurutnya, empat lelaki dipercayai warga Indonesia berdasarkan percakapannya itu telah menggeledah semua bilik untuk mencari barang berharga.

“Kami tak berani melawan kerana mereka bersenjata. Selepas lima minit geledah barang dalam bilik dan dapat barang berharga, mereka terus larikan diri.
“Kami percaya mereka masuk dan melarikan diri melalui tingkap di tingkat atas berdasarkan kesan umpil. Setelah mereka pergi, kami berjaya buka ikatan di tangan dan kaki sebelum hubungi polis,” katanya.

Chee Keong yang mempunyai bengkel kereta berkata, dia sekeluarga kerugian lebih RM30,000 apabila barang kemas, wang tunai termasuk mata wang asing bernilai lebih RM15,000, dua telefon bimbit serta dompet dilarikan penjenayah.
“Kejadian ini kali pertama berlaku selepas kami sekeluarga pindah di sini pada bulan Mac tahun lepas," katanya.

Katanya, laporan polis telah dibuat sejurus kejadian di Balai Polis Rahang, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment