Malaysiakini 22/11/15
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan memberi
peringanan hukuman kepada empat banduan yang menjalani hukuman mati
kepada penjara seumur hidup bersempena Hari Keputeraan baginda.
Setiausaha
Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim berkata dua daripada mereka
merupakan banduan yang melakukan kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan manakala dua lagi melakukan kesalahan mengedar dadah
menurut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Dua banduan
yang dihukum atas kesalahan membunuh itu sedang menjalani hukuman di
Penjara Pokok Sena di Kedah dan di Kluang manakala dua yang dihukum atas
kesalahan mengedar dadah sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang
Renggam," katanya kepada pemberita di Bangunan Sultan Ismail, Kota
Iskandar, di Nusajaya.
Ismail berkata Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 16 Nov lepas.
Mesyuarat
terbabit turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta tiga orang
anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dilantik Sultan Johor.
Beliau
berkata mesyuarat itu telah mempertimbangkan 30 kes rayuan iaitu empat
kes rayuan hukuman gantung mati berkenaan dan 26 kes rayuan Kajian
Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS).
Katanya bagi 26 kes KHETS itu,
Sultan Ibrahim telah menitahkan hukuman ke atas mereka dikekalkan dan
antara kesalahan yang dilakukan termasuk samun berkawan dengan
menggunakan senjata, memiliki dadah berbahaya, rogol serta sumbang
mahram.
"Empat banduan yang diringankan hukuman itu pula
diharapkan dapat menggunakan peluang tersebut bagi pemulihan dan
pembangunan diri supaya menjadi insan berguna kepada masyarakat dan
negara," katanya.
-Bernama
No comments:
Post a Comment