Malaysiakini 25/11/15
Abdul Salam Ahmad, ahli perniagaan yang dinamakan dalam dokumentari
Al Jazeera sebagai orang tengah di antara Sirul Azhar Umar dan pihak
tertentu, tampil menafikan memainkan sebarang peranan tersebut.
Salam dinamakan dalam dokumentari program 101 East Al Jazeera berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Sirul,
bersama dengan Azilah Hadri, kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas polis
dan pengawal peribadi kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa beliau
menjadi timbalan perdana menteri, telah disabitkan dengan pembunuhan
Altantuya oleh Mahkamah Persekutuan pada bulan Februari tahun ini.
"Saya
menyatakan bahawa saya tidak pernah memainkan apa-apa peranan untuk
mana-mana pihak dengan Sirul Azhar, dan bahawa fitnah pertama dan fitnah
kedua tersebut hanyalah rekaan semata-mata dan/atau dilemparkan dengan
niat jahat," kata Salam dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai
Polis Seksyen 6 di Shah Alam, semalam.
Dalam laporan itu, Salam
merujuk kepada dakwaan Al Jazeera bahawa dia adalah orang tengah sebagai
"kenyataan fitnah pertama" dan mesej teks yang kononnya daripada Sirul
meminta bayaran supaya tidak mengaitkan individu tertentu, sebagai
"kenyataan fitnah kedua".
"Saya juga menyatakan secara khusus saya
tidak pernah menghantar dan/atau membalas sebarang SMS, yang
digambarkan dalam fitnah kedua tersebut dengan Sirul pada mana-mana
masa," kata Salam dalam laporan polis itu.
Beliau juga menafikan bahawa dia tidak respons kepada permintaan Al Jazeera untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu.
"Saya
menyatakan bahawa ini juga suatu kenyataan yang berniat jahat kerana
saya tidak pernah mengelak daripada memberikan sebarang penjelasan.
"Sebaliknya,
saya telah menghubungi wartawan rancangan tersebut iaitu Mary Ann
Jolley bagi menuntut penjelasan mengenai fitnahnya.
"Namun
demikian wartawan tersebut telah mengelak dan/atau tidak memberi respons
kepada tuntutan-tuntutan penjelasan saya," demikian menurut laporan
polis itu.
Salam juga kecewa mengenai bagaimana dokumentari itu menggambarkan tentang diri beliau.
"Saya menyatakan bahawa program tersebut telah juga memfitnah saya sebagai mempunyai sejarah rasuah.
"Saya
menyatakan bahawa saya tidak pernah terlibat dalam apa-apa jenayah
rasuah di mana saya tidak pernah dituduh atau disabitkan oleh mana-mana
mahkamah," katanya.
Dalam laporan polis itu, Salam berkata beliau mahu tindakan diambil terhadap Al Jazeera kerana fitnah jenayah.
"Saya
juga membuat laporan ini untuk menjelaskan perkara sebenarnya yang
berlaku dan untuk saya mengambil tindakan sewajarnya terhadap
pihak-pihak yang telah mencemarkan maruah saya di mahkamah kelak,"
katanya.
Sirul kini ditahan di pusat tahanan di Sydney dan tidak
boleh dihantar pulang kerana Australia tidak mengiktiraf hukuman mati
yang dikenakan di negara-negara asing.
Azilah kekal dalam penjara Malaysia sementara menunggu pelaksanaan hukuman.
No comments:
Post a Comment