KUALA TERENGGANU - Tindakan sepasang kekasih yang masih bergelar
pelajar menginap di sebuah bilik masing-masing dikenakan denda RM2,700
oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.
Tidak cukup dengan itu, kedua-dua pasangan remaja yang berusia 18 dan
17 tahun itu turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal
menjelaskan denda.
Keputusan itu dibuat selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan
mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)
(Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik
di Jalan Tok Lam, di sini, jam 7.20 malam, 19 September lalu.
Selain itu, di mahkamah sama, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun
diarahkan ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak
Bernam, Selangor selama empat bulan selepas ditahan dengan pasangannya
di dalam sebuah bilik.
Keputusan itu dibuat selepas dia yang bekerja sebagai jurujual mengaku
salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan
untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Bagaimanapun, pasangannya yang berusia 22 tahun dikenakan waran tangkap
kerana gagal hadir ke mahkamah dan sebutan waran bertarikh 17 Januari
depan.
Berdasarkan pertuduhan, pasangan berkenaan ditahan dalam keadaan
mengaibkan dalam sebuah bilik di Jalan Tok Lam, di sini, jam 7.20 malam,
pada 19 September lalu.
Kedua-dua kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Jabatan
Hal Ehwal Agama Terengganu di hadapan Hakim Syarie Nik Mohd Shahril
Irwan Mat Yusof.
No comments:
Post a Comment