SEREMBAN - Menjijikkan! Itulah yang dapat digambarkan oleh seorang
anggota polis ketika melihat tikus di atas pinggan yang digunakan untuk
menyenduk nasi di sebuah restoran di Senawang, di sini.
Mahfuz Md Saleh, 46, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang
ketika dia baru beberapa minit duduk di restoran terbabit menikmati
segelas teh tarik.
“Tengah saya duduk sambil pandang keadaan sekitar, saya nampak di meja
sebelah ada tikus makan sisa nasi dalam pinggan yang digunakan sebagai
senduk nasi.
“Saya pun cepat-cepat ambil gambar untuk dijadikan bukti dan tak sangka
pula ada pelanggan lain nampak dan maklumkan pada pekerja di situ,”
katanya.
Mahfuz berkata, dia mengambil tindakan memuat naik gambar tersebut ke
dalam Facebook memandangkan restoran itu antara kedai makan yang menjadi
tumpuan ramai.
Menurutnya, bukan untuk menganiaya pemilik restoran berkenaan,
sebaliknya pengusaha restoran itu sepatutnya bersikap lebih prihatin
tentang soal kebersihan dan bukannya memikirkan keuntungan semata-mata.
“Kawan-kawan saya ramai yang suka makan di restoran itu, jadi saya rasa bertanggungjawab untuk hebahkan kepada semua.
“Saya sendiri bila nampak macam itu, memang selepas ini tidak akan
pergi makan dekat situ lagi. Ini soal makanan dan keadaan seperti itu
boleh mengundang penyakit,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Abdul
Rahim Abdullah berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan supaya
restoran berkenaan ditutup selama dua minggu serta turut dikenakan
kompaun.
Menurutnya, kesalahan itu bukan kali pertama dilakukan kerana sebelum
ini pernah diarah tutup pada 18 November lalu dan baru sahaja dibenarkan
beroperasi semula.
“Restoran ini mula beroperasi semula Sabtu lalu dan pengusaha juga
telah berjanji melantik syarikat kawalan serangga untuk tujuan kawalan
keadaan premis.
“Tapi nampaknya ia tidak berkesan dan lawatan susulan dilakukan semalam
bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mendapati tiada kesinambungan
untuk pengusaha premis menjaga kebersihan,” katanya.
Abdul Rahim berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati memang ada tikus
berkeliaran di dalam longkang di premis berkenaan dan arahan memasang
perangkap tikus dan meletakkan racun tikus telah dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment