Dr Mahathir mendakwa perwakilan telah diberi amaran supaya tidak menghebohkan perkara berkenaan
PETALING JAYA : Perwakilan Mesyuarat Agung UMNO pada bulan hadapan
dikatakan dilarang daripada membahaskan perkara-perkara tertentu
khususnya yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana
RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi, Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak.
Dalam dakwaannya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persidangan parti
itu juga akan dibuat secara tertutup kepada orang ramai di mana tidak
semua dari ucapan perwakilan akan disiarkan.
“Hanya ucapan Presiden sahaja akan disiar. Sepatutnya (Tan Sri)
Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden akan membuka persidangan
sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.
“Amaran sudah diberi supaya ahli UMNO tidak akan bercakap berkenaan
perkara ini. Apakah jenis Mesyuarat Agung UMNO ini,” soalnya dalam entri
terbarunya di blog chedet.cc.
Kata Dr Mahathir lagi, usaha gigih juga sedang dijalankan untuk
menyekatnya daripada berjumpa dengan ahli UMNO serta orang ramai.
“Dewan di mana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh saya tidak
boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.
“Ada iklim ketakutan yang menghalang segala kegiatan yang
bersangkutan dengan mengkritik kerajaan. Ia seolah-olah menjadi jenayah
yang tidak tertulis.
“Tetapi dakwaan dibuat kononnya ini negara demokrasi. Sesiapa yang
cuba sabotaj demokrasi Malaysia boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun.
Tetapi sebenarnya yang mensabotaj demokrasi Malaysia ialah kerajaan
sendiri,” tegasnya.
Menurutnya, pelbagai jenis tekanan telah digunakan secara tidak demokratik terhadap mereka yang mengkritik parti dan kerajaan.
“Ada yang disoal siasat oleh polis. Ada yang dimasuk dalam tahanan
tanpa berasas kepada undang-undang. Ada yang diugut akan kehilangan
kontrak dan lain-lain.
“Kata pepatah berani kerana benar; takut kerana salah. Apakah kerana
salah yang takut sangat 1MDB dan RM2.6 bilion dibincang,” sindirnya.
FMT
No comments:
Post a Comment