24/11/15
Sebuah laman sesawang pro-Umno mentertawakan Tun Dr Mahathir Mohamad
sehingga "keluar air mata" ekoran rungutan bekas perdana menteri selama
22 tahun itu sukar mendapat tempat untuk berucap.
Dalam nada penuh
sindiran penulis rencana itu berkata, air matanya hampir jatuh membaca
kenyataan Dr Mahathir tetapi ia bukanlah kerana terlalu sedih,
sebaliknya "terlalu geli hati membawa lawak retorik seorang negarawan
ulung" yang kini diandaikan seperti pengemis politik.
Melalui
artikel disiarkan laman sesawang MyKMU itu, penulis berkenaan meminta
orang ramai mengasihani Dr Mahathir dan tidak takut memanggil beliau
untuk berucap.
"Bukalah pintu itu selebar-lebarnya hiasi dengan
karpet merah, bunga manggar, kompang dan taburan kelopak mawar menyambut
beliau," katanya.
Jika tiada dewan yang sudi, katanya, ada banyak
lagi premis yang boleh digunakan Dr Mahathir untuk berucap seperti
"Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur Selangor (mungkin merujuk kepada
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor - KLSCAH) atau tempat
dimiliki Majlis Bandaraya Shah Alam.
Katanya, KLSCAH sering digunakan pembangkang untuk mengadakan majlis mengkritik kerajaan, selain pernah dijadikan tempat Sasterawan Negara Datuk A Samad Said bersajak.
Tempelak 'anak derhaka'
Untuk di kawasan Selangor, kata rencana itu, Dr Mahathir boleh mendapatkan kerjasama daripada Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Satu lagi lokasi dicadangkan ialah mana-mana tempat di Kedah yang kini ditadbir oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
"Jika
‘dia’ cuba bantah, maka bekas memanda menteri perdana boleh tempelak
‘dia’ sebagai ‘anak derhaka’. ‘Berani tidak beri ruang pada ayahanda?’.
Paksa ‘dia’ suruh beri dewan yang ada penghawa dingin dan lengkap!"
katanya.
Semalam Dr Mahathir mengemas kini blognya dengan menyatakan ada pihak gigih mahu menutup mulutnya dan menyekat beliau daripada berjumpa dengan ahli Umno atau orang ramai.
Kata
Dr Mahathr, sebelum ini masalah mendapatkan tempat untuk berucap tidak
pernah dihadapi sehinggalah beliau mengubah sikap menjadi pengkritik
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dr Mahathir kini menjadi
antara pengkritik paling lantang Najib dan berkali-kali mendesak -
secara terbuka - supaya kepimpinan negara dan Umno diganti.
Kata
penulis yang tidak dikenali itu jika Dr Mahathir mahu sangat bercakap
kepada ahli Umno beliau boleh pergi ke Pagoh kerana di sana ada Tan Sri
Muhyiddin Yassin dan penyokongnya.
"Mungkin juga boleh rancang sesuat’ di situ, bukan?" katanya.
Muhyiddin
adalah timbalan perdana menteri sebelum dipecat Najib ekoran lantang
mengkritik cara kerajaan menangani pelbagai isu, termasuk 1MDB serta
penyaluran dana kontroversi dari luar negara.
Rencana itu diakhiri
dengan sedikit apologetik - tapi tetap sinis: "Penulis memohon maaf
jika bekas memanda menteri perdana tersinggung atau marah dengan tulisan
ini. Penulis menulis bukanlah kerana benci, sebaliknya kerana sayangkan
bekas memanda menteri perdana. Takkanlah lepas tidak jadi Presiden Umno
tak boleh tegur sikit…"
No comments:
Post a Comment