Kerajaan perlu teruskan subsidi buat mereka yang
berpendapatan rendah kerana kegagalan berbuat demikian pasti beri kesan
negatif dan tidak adil kepada mereka.
PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
menggesa kerajaan agar mengekalkan subsidi elektrik untuk golongan
berpendapatan rendah.
Setiausaha Agung FOMCA Datuk Paul Selvaraj berkata, golongan tersebut
perlu dikecualikan daripada kenaikan tarif elektrik, apatah lagi di
saat kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.
“Kerajaan perlu teruskan subsidi buat mereka yang berpendapatan
rendah. Jika tidak, ia pasti beri kesan negatif dan tidak adil kepada
mereka.
“Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk kurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas laporan The Star pada Isnin mengenai kadar tarif
elektrik yang dijangka meningkat untuk beberapa tahun akan datang,
ekoran pengumuman kerajaan untuk mengurangkan subsidi gas berpaip di
Semenanjung Malaysia.
Di bawah program rasionalisasi subsidi kerajaan, harga gas berpaip
akan dinaikkan RM1.50/mmBtu pada setiap enam bulan sehingga mencapai
harga pasaran.
Namun begitu, Selvaraj menyokong pengurangan subsidi elektrik kepada
golongan berpendapatan sederhana dan tinggi, dengan syarat ia dilakukan
secara telus.
“Untuk jangka panjang, saya sokong langkah ini. Tetapi ia perlu dibuat secara telus.
“Misalnya, rakyat tak faham mengapa kadar elektrik tetap naik di saat harga minyak dan arang batu jatuh,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment