Kenaikan berterusan kos sara hidup akan menjadikan kehidupan rakyat lebih teruk jika kerajaan gagal bertindak
PETALING JAYA: Kehidupan rakyat di negara ini diramal akan lebih
mencabar pada 2016 kerana kenaikan kos sara hidup yang berterusan
terutamanya disebabkan kenaikan harga barangan dan pengangkutan.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia
(FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata sekiranya tidak ada pemulihan
harga minyak dan kejatuhan nilai Ringgit masih berterusan, kehidupan
rakyat sebagai pengguna akan menjadi lebih teruk.
“Jika kedua-duanya masih berlaku, memang ia akan menyebabkan keadaan
menjadi teruk. Macam mana pemulihan harga minyak itu boleh dinaikkan
atau Ringgit itu dapat dipulihkan ia akan memberi kesan kepada pengguna.
“Kerajaan harus mencari langkah-langkah (menyelesaikan) keadaan
ekonomi yang berlaku sekarang ini (agar) dapat dipulihkan,” katanya
ketika dihubungi Free Malaysia Today.
Sehubungan itu, Abdul Rahman turut menggesa agar kerajaan dapat menghentikan sebarang kenaikan kos sara hidup melibatkan rakyat.
“Umpamanya jika tol PLUS meningkat akan beri kesan kepada pengguna,
rasionalisasi barang-barang keperluan jika kerajaan laksanakan juga
tahun depan sudah tentu memberikan kesan kepada pengguna,” tegasnya.
Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan
turut menjangkakan kehidupan pengguna akan lebih mencabar pada 2016
jika kos sara hidup tidak diperbetulkan.
Katanya, untuk mengatasi perkara itu, perlunya ada langkah-langkah
tegas dan perancangan yang baik oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan
harga barangan dan perkhidmatan.
“Pengguna perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi semua ini. Kerajaan
perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dari aspek ketirisan, penjimatan,
permudahkan kerja.
“Ia berkait rapat sebenarnya. Jadi kita kena lakukan semua itu bagi mengatasi cabaran yang begitu besar hari ini,” katanya.
Kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan berlaku selepas
kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak
enam peratus bermula 1 April lalu.
Ia ditambah dengan kenaikan kadar tol beberapa lebuh raya antara
bandar pada Oktober lalu dan kenaikan tambang pengangkutan awam
berkuatkuasa 2 Disember lalu.
Tahun hadapan, kadar tol lebuh raya PLUS dijangka naik sebanyak lima
peratus seperti mengikut perjanjian konsesi. Namun setakat ini, kerajaan
belum memberi kata putus.
Lapan lebuh raya tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus),
Lebuh Raya Link Kedua, Lebuhraya Damansara -Puchong (LDP), Lebuhraya
Seremban- Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya
Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Selat Klang Utara
(NKSB) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
FMT
Tambang ERL pula naik sebanyak RM20 bagi perjalanan sehala kepada RM55 berkuatkuasa 1 Januari 2016.
No comments:
Post a Comment