TEMERLOH - Seorang bekas anggota pasukan keselamatan ketika zaman
darurat Home Guard mendakwa tidak pernah menerima sebarang wang ihsan
walaupun ada dalam kalangan rakan-rakannya telah menerima bantuan
diberikan kerajaan itu.
Ali Awang Lela, 79, dari Kampung Paya Batu di sini berkata, dia
menganggotai Home Guard bagi kawasan penempatan sekitar Kampung Belengu
selama 10 tahun bermula 1950 hingga 1960.
Menurutnya, empat tahun lalu kerajaan mengumumkan anggota pasukan
keselamatan terdiri daripada Special Constable (SC), Home Guard
diberikan bantuan RM3,000 daripada kerajaan.
“Saya kemudian merujuk perkara ini kepada Persatuan Bekas Polis
Malaysia cawangan Temerloh dan menghantar dokumen lengkap untuk
mendapatkan wang itu.
“Saya masih ingat, masa saya isi borang untuk permohonan bantuan tabung
amanah warisan polis (TAWP) saguhati kepada bekas polis yang berkhidmat
semasa zaman darurat.
“Tapi sampai sekarang, saya masih belum dapat sebarang wang ihsan atau
saguhati daripada kerajaan sebanyak RM3,000 seperti yang diumumkan
dahulu,” katanya sewaktu ditemui uzur di rumah anaknya di sini.
Ali diziarahi Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar
Shamsudin bersama Biro Tugas-Tugas Khas Umno Temerloh dan Jabatan Hal
Ehwal Khas Temerloh.
Ali berkata, sejak dari tempoh itu sudah dua kali dia mendedahkan
mengenai perkara itu menerusi akhbar namun sehingga kini masalah belum
selesai.
Menurutnya, dengan keadaan semasa yang uzur akibat strok setahun lalu
dia kini tinggal bersama anaknya, Abd Aziz, 54, di Kampung Paya Batu.
Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai anggota Home Guard, dia menjalani latihan dan dibekalkan dengan senjata api dan peluru.
"Dalam tempoh seminggu saya dihantar bertugas di hutan Bera.
“Saya masih ingat, di situ terlalu ramai komunis, kami dibekalkan
dengan senjata api, masuk hutan tebal dan memburu komunis,” katanya.
Ali berharap sekiranya tidak ada sebarang masalah wang ihsan kerajaan
itu dapat digunakan sebagai belanja dalam keadaan dia yang uzur
sekarang.
No comments:
Post a Comment