Malaysiakini 30/12/15
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu akhbar The Wall Street
Journal (WSJ) membekalkan bukti mengenai beberapa siri dakwaannya
terhadap 1MDB supaya soalan susulan boleh dikemukakan semasa soal siasat
ke atas firma pelaburan negara itu.
Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan
Seng Giaw membuat gesaan apabila diminta mengulas laporan terbaru oleh
akhbar harian kewangan Amerika Syarikat tersebut.
"Kita tidak
boleh tanya soalan berdasarkan dakwaan sahaja. Kita hanya boleh buat
susulan dengan soalan berdasarkan fakta," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini.
"Kita tidak tahu sumber laporan itu, bagaimana kita akan soal mereka?
"Menjadi tidak munasabah tidak boleh dijadikan cara (PAC mengendalikan soal siasat semasa prosiding)," katanya.
Oleh itu, Tan (atas, kiri) mencadangkan supaya WSJ memberi bukti bagi membolehkan PAC mengambil tindakan susulan berdasarkan fakta.
Dalam
laporan terbarunya, WSJ yang memetik minit mesyuarat lembaga pengarah
1MDB mendakwa mereka menyuarakan kebimbangan sedang disiasat kerana
jenayah pecah amanah dan tindakan yang menyalahi aturan kewangan.
Akhbar itu turut mendakwa 1MDB mengutamakan perbelanjaan politik walaupun aliran tunai tidak mencukupi.
Laporan itu juga mendakwa bahawa jutawan Jho Low membantu kerajaan BN mengagihkan dana 1MDB berkaitan
pilihan raya umum.
Editor
WSJ, Tom Wright juga mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
yang adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB memecat dua syarikat firma
audit - Ernst & Young dan KPMG - selepas mereka menyoal usaha sama
dengan PetroSaudi International.
Mengulas perkara ini, Tan
mengesahkan bahawa kedua-dua Ernst & Young dan KPMG telah ditamatkan
perkhidmatan mereka oleh 1MDB.
"Kami tahu bahawa mereka telah dipecat tetapi tiada alasan diberikan oleh mereka pada prosiding tersebut," katanya.
Sementara
itu, Tan juga mengulangi bahawa adalah sukar untuk memanggil Low kerana
namanya belum terdapat dalam mana-mana rekod yang berkaitan dengan
1MDB.
"Namanya kali akhir muncul di Terengganu Investment Authority (TIA) dan bukannya 1MDB.
"Kita
hanya boleh memanggil saksi itu melalui perbendaharaan. Selanjutnya,
(walaupun kita memanggil Low), kita tidak tahu sama ada dia akan
datang," katanya.
"Dari segi undang-undang, kita perlu mempunyai beberapa asas sebelum memanggil saksi itu," kata Tan.
Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan terbaru WSJ itu.
"Bukan tugas saya untuk mengulas perkara ini," katanya ringkas ketika dihubungi.
1MDB bagaimanapun menolak laporan terbaru WSJ yang menurutnya membuat "dakwaan tidak berasas” dan dikitar semula sejak pertengahan 2015.
Dalam
satu kenyataan, semalam, syarikat itu berkata WSJ memutarkan teori
konspirasi dan fitnah yang disebarkan oleh pihak pembangkang di
Malaysia.
No comments:
Post a Comment