Bahaya jika rakyat tidak diberi perspektif yang tepat
dalam isu agama apabila ada pihak berpendapat mereka sahaja layak
memberi pandangan
PETALING JAYA: Mana-mana pihak tidak seharusnya cuba ‘menutup mulut’
orang lain untuk membahaskan apa-apa isu termasuk yang melibatkan agama
Islam.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof
Rawa berkata, tindakan itu akan mengakibatkan rakyat tidak mendapat
perspektif yang tepat dalam sesuatu isu.
“Amat bahaya jika rakyat tidak diberi perspektif yang tepat dalam
apa-apa isu kerana ada pihak tertentu yang fikir hanya mereka sahaja
yang layak mengutarakan pandangan.
“(Maka) Semua pihak, sama ada G25 dan juga Perkasa, perlulah berbahas
secara ilmu, bukan berdasarkan emosi semata-mata,” katanya ketika
dihubungi FMT.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkan jurucakap
kumpulan G25 Datuk Noor Faridah Ariffin tidak layak bercakap tentang
soal agama kerana tiada pengetahuan mendalam mengenai agama Islam.
Dalam pada itu, Mujahid tidak melihat sebarang masalah dalam tindakan
Noor Faridah mengkritik undang-undang jenayah syariah sebelum ini.
“Saya meneliti apa yang diperkatakan Noor Faridah dan ia adalah isu
pentadbiran agama, bukannya prinsip agama itu sendiri. Jadi kita kena
meletakkannya dalam konteks undang-undang.
“Mengkritik pentadbiran agama tidak boleh disamakan dengan mengkritik agama,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan agama bukan mengenai aspek penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga merangkumi aspek pendidikan.
Sebelum ini, pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan
Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Naser Tun Rahman
juga mengatakan umat Islam perlu lebih mengutamakan soal pendidikan
berbanding hukuman.
FMT
No comments:
Post a Comment