2/1/16
Popular dengan gelaran "Raja Repot", insan bernama Abdul Rani Kulup
Abdullah begitu berbesar hati dengan pengiktirafan 'sultan Melaka', Raja
Noor Jan Shah Tuah, padanya baru-baru ini.
Raja Noor, yang
mengakui dirinya sultan Melaka, memberi gelaran Datuk Paduka Mahkota
Melaka dengan gelaran Datuk Paduka kepada Rani, dalam acara di sebuah
tempat Isnin lalu.
Anugerah
itu diterimanya dalam satu majlis "sambutan hari keputeraan Sultan
Melaka Darul Islam ke-58", menurut Rani yang popular dengan slogan
“kipidap” itu.
Sebagai Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan
Muhibbah Malaysia (MJMM), Rani berkata, beliau mempertahankan semua
raja-raja Melayu.
Bagaimanapun, menurut Rani, dia tidak menyangka
hanya dengan satu laporan polis yang dibuat demi maruah 'sultan Melaka'
itu mendapat perhatian Raja Noor Jan (gambar).
"Ayah
terkejut. Tak sangkalah dengan satu repot pada tahun 2012 lalu beliau
berikan ayah anugerah ini.
Pastinya saya perlu berterima kasih dengan
keprihatinan beliau dan menghargai jasa ayah.
"Ayah buat repot
pelbagai isu lain termasuk melibatkan penghinaan kepada sultan Selangor,
Johor, Perak dan Kedah. Tapi hanya beliau saja yang beri anugerah,"
katanya yang sering memperkenalkan dirinya sebagai “Ayah Arka”.
Ditanya
mengenai pertikaian gelaran itu tidak sah disebabkan diberikan oleh
sultan yang tidak diiktiraf, Abdul Rani hanya memberi jawapan mudah.
"Kalau mereka cakap sultan melaka tidak sah, suruhlah sultan lain beri anugerah kepada ayah.
“Banyak jasa saya kepada sultan lain termasuk menjaga pengorbanan kepada bangsa, negara dan agama Islam," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (gambar) dilaporkan berkata orang seperti Raja Noor Jan adalah orang gila atau hidup dalam alamnya sendiri.
Rani
bagaimanapun berkata tidak sepatutnya melabelkan seseorang sebagai gila
atau tidak waras kerana setiap masalah boleh dibawa berbincang.
“Bukan
main tuduh sesuka hati. Kenyataan seperti itu melambangkan orang itu
tiada kredibiliti. Ia boleh mengecewakan orang lain, seperti pemimpin
kita yang buat kenyataan bodoh.
"Ayam mahal (suruh) jangan makan
ayam, yang mahu bayar tol bangun pagi-pagi pergi kerja guna jalan
alternatif. Apa punya bangang orang macam itu, mengecewakan rakyat,"
katanya.
Tak perlu beri wang
Menceritakan
anugerah yang diterimanya, Rani berkata, beliau tidak perlu memberi
wang ringgit kepada Raja Noorjan seperti mana yang diamalkan oleh
sesetengah pihak lain.
Malah katanya, selain gelaran beliau juga menerima sebilah keris dan sepersalinan baju daripada individu tersebut.
"Alhamdulillah
saya gembira dengan pemberian tersebut, di samping satu hadiah istimewa
iaitu pingat penganugerahan. Beliau juga begitu menghargai pengorbanan
saya sepanjang 22 tahun dalam pasukan tentera tanah air.
“Kipidap," katanya.
Raja Noor Jan pertama kali mengisytiharkan dirinya sebagai pewaris kesultanan Melaka yang sah pada tahun 2005.
Tahun
lalu, Noor Jan pernah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut
Akta Hasutan berhubung dakwaan mengadakan beberapa majlis penganugerahan
pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.
Noor
Jan berasal dari Kampung Teluk Perang, Perak juga pernah ditahan ketika
dalam perjalanan ke Pulau Besar, Melaka dipercayai menghadiri majlis
kesyukuran kewujudan kembali "kesultanan Melayu Melaka"
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment