Sunday, January 3, 2016

Gara-gara tahi kucing, warga emas dipukul jiran

Sinar Harian
Gara-gara tahi kucing, warga emas dipukul jiran
Gambar hiasan
KAMPAR - Gara-gara tahi kucing, dua jiran bersengketa lebih 10 tahun namun, kemuncak kemarahan berlaku semalam, apabila lelaki berusia 52 tahun dipukul oleh jirannya di Taman Bandar Baru di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa cuba berbincang secara baik dengan jirannya yang berusia 54 tahun itu setelah kepalanya terkena tahi kucing ketika sedang mencuci tangan di belakang bengkel miliknya itu.

Namun, tidak semena-mena, mangsa pula dipukul bertalu-talu dengan sebatang besi menyebabkan dia dikejarkan ke Hospital Kampar.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, sebelum kejadian mangsa mendapati jirannya membuang tahi kucing di belakang premisnya melalui lubang kecil sebelum terkena kepala mangsa.

“Berdasarkan fakta kes, mangsa cuba berbincang secara baik namun suspek marah-marah dan mengambil sebatang besi terus memukul kepala mangsa. Rakan mangsa membawa mangsa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kepala mangsa menerima 22 jahitan selain cedera di belakang badan dan kaki sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati bengkel kedua-dua mereka bersebelahan dan pertelingkahan itu berlaku di sebabkan oleh tahi kucing di dalam dan diluar premis mangsa.

“Kita juga menerima laporan lain berkaitan. Bagaimanapun, tiada tangkapan dan rampasan dibuat setakat ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata,” katanya.

No comments:

Post a Comment