Sinar Harian
SHAH ALAM – Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang
mengarahkan SPRM agar menutup kes SRC International dan dana RM2.6
bilion akan dirujuk kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan
memberitahu, keputusan tersebut dicapai menerusi satu mesyuarat khas
Pengurusan Tertinggi SPRM hari ini.
"PPO, merupakan salah satu badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi
memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009, untuk penilaian dan
pertimbangan PPO dan sebuah panel khas yang akan dilantik. Salah satu
terma rujukan PPO ialah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang
diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya.
"PPO dianggotai oleh Tan Sri Dr Hamid Bugo sebagai Pengerusi, Tan Sri
Jawhar Hassan, Datuk Zamani Abdul Ghani, Datuk Azizah Arshad, Datuk Wan
Abdul Wahab Abdullah, Profesor Dr. Normah Omar, Dr Sundramoorthy M.
Pathmanathan dan Tuan Lim Chee Wee," kata SPRM dalam satu kenyataan,
hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu dana: Kenyataan AG bukti Najib tidak bersalah]
Semalam Sinar Harian melaporkan, Peguam Negara mendapati tiada sebarang
kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berkait tiga kertas siasatan melibatkan dana RM2.6 bilion dan kes SRC
International yang dikemukakan SPRM.
Oleh itu, katanya siasatan terhadap kes itu akan ditutup.
PPO diwujudkan secara pentadbiran dan anggotanya terdiri daripada
kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan
profesional, yang bersesuaian serta individu yang berupaya
memperlihatkan ketelusan dan kebebasan tindakan SPRM.
PPO adalah mekanisme check and balance terhadap kes penyiasatan yang
dijalankan dan sebab sesuatu kes diperakukan untuk didakwa atau ditutup.
PPO juga boleh mencadangkan kes dikaji semula sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dikemukakan oleh SPRM.
No comments:
Post a Comment