KUALA LUMPUR - Malaysia disifatkan hanya menumpang 'kenderaan orang
lain yang lebih canggih dan laju' dalam Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPP) ini.
Ahli Parlimen (Pas-Marang), Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,
Malaysia diajak menyertai perjanjian itu dengan draf perjanjian telah
disediakan terlebih dahulu.
"Bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka
yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat
menarik hasilnya pada zahir.
"Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisme ekonomi, sudah tentu
lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang
kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih
laju perjalanannya dan sudah pasti kita bukan pemandunya," katanya pada
sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat khas, di sini, hari ini.
Sesi perbahasan berkaitan TPP bermula hari ini hingga esok sebelum sesi
pengundian dijalankan untuk menentukan keputusan penyertaan Malaysia.
Akui Malaysia mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya namun dengan sebab menumpang.
"Tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air
untuk kolam tasik yang besar melaut, akan menjadikan air kita surut
kering, kalau disedut atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang
tasiknya boleh menenggelamkan kita sehingga mati lemas.
"Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika
yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi
alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan
sangat membantu negara anggota.
"Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan
menembusi pasaran antarabangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ianya
akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan
syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi
liberal kapitalisme, ditambah pula dengan tidak ada akhlak," katanya.
Katanya, kerajaan sepatutnya menunaikan perkara yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri.
"Iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik dan bumiputera yang menjadi
sumber manusia terbesar tetapi masih terkebelakang kerana program
pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum Bumiputera masih
ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.
"TPP tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri
tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang
lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini," katanya.
Sebelum mengakhiri hujahnya, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas sempat
mengajak ahli-ahli Dewan Rakyat menolak TPP demi masa depan negara dan
generasi akan datang.
"Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki
sendiri dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan
generasi muda negara, untuk mencorakkan kejayaan di abad ini dan melakar
kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan
kita sendiri," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment