FMT January 2, 2016
TPPA menyediakan ruang buat Malaysia untuk
mengukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat, sedang dalam
masa yang sama tidak menghalang daripada mengeratkan hubungan dengan
kuasa besar lain.
COMMENT
Oleh: Abdul Muein Abadi
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bakal dibahaskan di
Parlimen Malaysia pada 26-27 Januari ini. Pihak Institut Kajian
Strategik dan Antarabangsa (ISIS) juga sudah pun mengeluarkan laporan
analisis kos-faedah (cost-benefit analysis) pada 3 Disember lalu.
Tulisan ini akan menghuraikan secara spesifik perspektif kedaulatan dan
geopolitik yang terkandung dalam laporan ISIS tersebut. Di bawah tema
“Kedaulatan”, ISIS telah menggariskan tiga sub-tema: Dominasi kuasa
besar, campur tangan asing, dan juga halangan pembuatan polisi bagi
Malaysia. Di bawah tema “Geopolitik” pula, ISIS turut mengemukakan tiga
sub-tema: ASEAN, China, dan Kesatuan Eropah (EU).
Bagi dimensi sub-tema pertama di bawah “Kedaulatan” – iaitu “Dominasi
kuasa besar” – ISIS mendapati bahawa sememangnya terdapat impak yang
positif buat Malaysia. Malaysia sebagai sebuah negara yang relatif kecil
dan terlibat dengan beberapa pertikaian wilayah dengan negara-negara
jiran sememangnya perlu untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua
pihak. Dari perspektif TPPA, ia menyediakan ruang buat Malaysia untuk
mengukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS), sedang
dalam masa yang sama tidak menghalang daripada mengeratkan hubungan
dengan kuasa besar lain. Di bawah sub-tema kedua iaitu “campur tangan
asing” pula, ISIS secara khusus memberi fokus kepada impak keperluan
pensijilan AS (US certification requirement). Dalam aspek ini, Malaysia
telah berhasil untuk memperoleh pengecualian (non-conforming Measures
NCM) di bawah TPPA, yang mana antara yang paling utama ialah
pengecualian cukai eksport (export tax) dan juga kawalan tembakau
daripada prosedur Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State
Dispute Settlement ISDS).
Dari perspektif sub-tema ketiga di bawah tema “Kedaulatan” pula,
iaitu “Halangan pembuatan polisi bagi Malaysia”, ISIS mengakui
sememangnya terdapat kebimbangan bahawa rejim perundangan TPPA mungkin
akan dipengaruhi pengaruhi AS dan juga syarikat-syarikat gergasi AS.
Tujuh ruang polisi Malaysia yang menjadi perhatian ialah Penyelesaian
Pertikaian Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement ISDS),
dasar Bumiputera, pembasmian kemiskinan, pemerolehan kerajaan
(Government Procurement GP), perusahaan milik negara (state-owned
enterprise SOE), buruh, dan alam sekitar.
Namun demikian, menerusi
pengecualian (non-conforming Measures NCM) serta sedikit pengubahsuaian
yang khusus diperoleh Malaysia di bawah TPPA, kadar penentuan polisi
Malaysia masih kekal utuh. Antara yang paling ketara ialah dalam aspek
pelaburan di mana sebahagian besar pemerolehan kerajaan bagi Bumiputera
dan juga syarikat berkaitan kerajaan (Government-linked corporations
GLC) masih dikecualikan daripada sekatan sepenuhnya TPPA. Hanya bagi
pemerolehan serta projek gergasi sahaja ruang persaingan dibuka
sepenuhnya kepada syarikat-syarikat asing.
Di bawah tema “Geopolitik”, ISIS memberi prioriti kepada sub-sub tema
yang berkaitan hubungan Malaysia dengan rakan dagang utama. Dari
perspektif sub-tema Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN),
diakui bahawa terdapat kemungkinan jurang antara negara ASEAN yang
menyertai TPPA – Malaysia, Brunei, Vietnam, dan Singapura – dengan
anggota ASEAN yang tidak menyertai TPPA bakal bertambah. Hal ini
demikian kerana hanya anggota TPPA sahaja yang akan menikmati akses
pasaran yang mudah ke negara-negara anggota TPPA yang maju seperti AS,
Jepun, Australia, Kanada, dan New Zealand.Namun demikian, hakikat bahawa
kesemua negara anggota ASEAN turut terlibat dengan beberapa lagi aturan
bersama – antaranya seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau
(RCEP) yang melibatkan akses ke China dan India – di samping kemajuan
dalam projek Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community AEC) pada
hemat penulis, tidak akan memudarkan kesepaduan 10 negara anggota ASEAN.
China merupakan fokus analisis ISIS yang kedua di bawah tema
“Geopolitik”. TPPA sememangnya dilihat sebagai salah satu strategi AS
bagi mengekang (containment) kemaraan China di rantau Asia dengan slogan
“Pivot to Asia”. Namun perlu disedari bahawa penyertaan Malaysia ke
dalam TPPA tidak sama sekali menghalang Malaysia daripada turut
mengukuhkan hubungan bilateral dengan Beijing. Hal ini terbukti menerusi
komitmen Malaysia yang menyokong penuh inisiatif “One Belt One Road”
(OBOR) oleh China. Bukan sahaja menyertai rundingan RCEP, Malaysia
bahkan merupakan antara negara terawal yang menandatangani penubuhan
Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) tajaan Beijing disamping
meletakkan sasaran untuk mencapai nilai dagangan dua hala sebesar US$160
bilion menjelang tahun 2017 dengan China.Sub-tema terakhir di bawah
“Geopolitik” ialah Kesatuan Eropah (EU) di mana Malaysia merupakan rakan
dagang EU kedua terbesar selepas Singapura di Asia Tenggara. EU pula
merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia. Pada 2012
Malaysia menunda rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU
kerana memberi fokus kepada TPPA. Namun penyertaan Malaysia ke dalam
TPPA dijangka ISIS tidak memberi impak besar dalam hubungan dua hala
tersebut.
Abdul Muein Abadi merupakan pensyarah Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
No comments:
Post a Comment