2/2/16
Seramai 13 daripada 15 ADUN pembangkang di Kedah dilaporkan sedang menghadap
Pengerusi
Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan
Badlishah di Alor Setar bagi menentukan kepimpinan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir sebagai menteri besar.
Perjumpaan di Wisma Darul Aman, di Alor Setar itu diadakan sejak jam 3 petang tadi.
Semalam, tiada keputusan dicapai dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah meminta supaya pertemuan dengan wakil rakyat pembangkang.
Pembangkang di Kedah mempunyai 15 kerusi - lapan milik PAS, satu milik AMANAH, dua DAP dan PKR mempunyai empat.
Ketua
Pembangkang dan ADUN Anak Bukit Amiruddin Hamzah memberitahu
Malaysiakini bahawa beliau berada di Kuala Lumpur sehingga 8 Februari.
Manakala ADUN Bukit Selambau Dr R Krishnamoorthy pula berada di luar negara.
ADUN
Alor Mengkudu dari parti PAS, Ahmad Yahya berkata 15 wakil pembangkang
datang dengan kata sepakat bahawa mereka menyokong Mukhriz.
"Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan cuba menurunkan Mukhriz sebagai Menteri Besar melalui cara tidak bertatasusila.
"Jika
Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi, proses menurunkannya juga
mestilah mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta
menghormati kehendak rakyat," katanya kepada pemberita selepas
meninggalkan bangunan itu pada kira-kira jam 4 petang.
Terdahulu,
ADUN Pengkalan Kundur, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, beliau disoal
sama ada dirinya menyokong usaha Umno Kedah untuk menumbangkan Mukhriz.
"Kita
beri pendapat sendiri. Kita tidak boleh dedahkannya," katanya kepada
pemberita yang menyerbu keretanya sebaik sahaja beliau meninggalkan
bangunan itu pada 3.50 petang.
"Setiap
orang menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah selama kira-kira lima
minit dan kami diminta menyatakan pendapat peribadi masing-masing," kata
pemimpin AMANAH itu.
Semalam, semua 21 ADUN BN termasuk Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipanggil menghadap Jemaah Pemangku
Sultan Kedah bagi menzahirkan pendirian mereka mengenai krisis politik
itu.
Krisis politik tercetus berikutan wakil rakyat dan pimpinan
kanan Umno negeri, yang diketuai Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah
yang juga adalah timbalan pengerusi perhubungan Kedah menyuarakan secara
terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz.
Dilaporkan
seramai 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari
MCA, menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka
terhadap Mukhriz.
Hanya ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar yang dikatakan tidak berbuat demikian.
Jumaat
lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Tunku
Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman,
Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran menteri
besar.
Najib pada sidang media pada hari sama selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan berkata
beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah
Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.
No comments:
Post a Comment