10/2/16
Keadaan pembangkang dilihat penuh kacau-bilau selepas setahun perginya ikon legenda PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ini
ditambah lagi dengan pemenjaraan tokoh pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim genap setahun lalu, selepas disabitkan bersalah meliwat bekas
pembantunya.
Nik Aziz, yang digelar “tuan guru” oleh banyak pihak,
meninggal dunia dua hari selepas itu, pada 12 Februari, selepas lama
bergelut dengan barah.
Pada ketika inilah, menurut pemimpin pusat tinjauan awam Merdeka Centre Ibrahim Suffian, bermulanya segala masalah pembangkang.
“Kedua-dua lelaki ini, dalam banyak keadaan, menjadi gam yang mengikat bersama gabungan (pembangkang),” katanya kepada Malaysiakini.
Akhirnya,
daripada gabungan pembangkang paling berjaya, tidak banyak lagi
kesepakatan bersama antara PAS, DAP dan PKR yang membentuk Pakatan
Rakyat ketika itu.
Hudud
Masalah
dalaman Pakatan, terutamanya antara PAS dan DAP, membarah selepas
kedua-dua parti terperangkap dalam isu hudud yang diluluskan di Kelantan
19 tahun lalu.
Selepas ketegangan berbulan-bulan, muktamar tahunn PAS ke-61 meluluskan usul memutuskan hubungan dengan sekutu mereka DAP.
Pada
masa yang sama, kumpulan proulama menguasai kepimpinan parti sehingga
menyaksikan kekalahan beramai-ramai pemimpin yang dilihat pro-Pakatan
dalam PAS.
Ia diikuti dengan pengumuman berakhirnya hayat Pakatan Rakyat oleh ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang.
Daripada aspek politik, kesannya tidak kecil.
“DAP akan hilang undi Melayu, PAS akan hilang undi Cina,” katanya.
Umno bukan lagi musuh terbesar
Dengan kawalan kumpulan pro-ulama makin ketat, kumpulan yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu memilih jalan lain.
Bermula
dengan pembentukan NGO Gerakan Harapan Baru, diketuai bekas timbalan
presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan parti Amanah Negara
(AMANAH).
Ia dijenamakan sebagai sebuah parti Islam yang lebih inklusif dan menerima keanggotaan penuh bukan Islam.
Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat, AMANAH kini mengambil alih kedudukan Umno sebagai musuh terbesar PAS sebelum ini.
Harapan tanpa PAS
Dalam
usaha menyatukan semula pembangkang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail mengambil inisiatif mengadakan mesyuarat
pemimpin-pemimpin pembangkang.
Wan Azizah, kali kedua menjadi ketua pembangkang,bertindak sebagai orang tengah – peranan biasa PKR dalam Pakatan.
Bagaimanapun, kali ini keadaan berbeza dan hasilnya juga berbeza.
Akhirnya gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan dibentuk tanpa PAS. Tempat PAS digantikan oleh AMANAH, parti serpihannya.
Bagaimanapun, PAS tetap mempertahankan kerjasama mereka dengan PKR, sekali gus mewujudkan keadaan serba tidak kena bagi PKR.
Di Selangor, PAS dan DAP masing-masing masih mempunyai exco dalam kerajaan negeri.
Kuasa blok pembangkang
Ketika pembangkang berdepan masalah dalaman, BN juga menghadapi masalah serupa.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dihantui pelbagai dakwaan skandal
mengambil langkah drastik menggugurkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin
Yassin dari kabinet.
Keretakan dalaman Umno, ditambah lagi dengan keadaan ekonomi dan kejatuhan ringgit, mewujudkan kebimbangan umum dalam negara.
Pada 22 Oktober, semasa sidang dewan Rakyat 2015, Azizah mengemukakan undi tidak percaya terhadap Najib.
Usul itu bagaimanapun tidak dibentangkan di parlimen.
Ibrahim kini melihat keadaan blok pembangkang yang amat lemah di Dewan Rakyat bagi melawan BN.
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment